GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membongkar taktik baharu pengedaran dadah di negeri itu yang menggunakan paket minuman segera tiga dalam satu berikutan penahanan lima individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM349,260, Isnin lepas.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata hasil risikan dan intipan sejak dua minggu lepas, polis menyerbu sebuah apartmen di Jalan Harbour Place, Butterworth, dekat sini pada jam 6.45 pagi dan menahan tiga lelaki serta dua wanita berusia 23 hingga 32 tahun.
“Dalam pemeriksaan di rumah sewa didiami lima orang itu, polis merampas serbuk ecstacy seberat 3.47kg), serbuk ketamin (50.7g) dan ratusan bungkusan paket minuman segera seperti milo, teh o limau serta lemon yang berisi dadah.
“Secara kasar paket-paket itu kelihatan seperti paket minuman biasa yang belum dibuka tetapi jika dilihat lebih dekat terdapat kesan bukaan bagi membuang separuh serbuk minuman sebelum dicampurkan dengan dadah seberat 0.4g,” katanya pada sidang mediadi sini hari ini.
Beliau berkata siasatan polis mendapati serbuk itu hanya perlu dicampur dengan air mineral untuk dijadikan minuman yang mengkhayalkan yang dinamakan ‘Happy Water’.
Roslee berkata sindiket itu memyasarkan dadah yang siap dibungkus itu untuk pusat hiburan sekitar negeri ini menerusi pengedar mereka dan ia dijual dengan harga RM100 bagi setiap bungkusan minuman segera.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lepas dan hidup berpindah randah bagi mengelak dikesan polis serta mampu mengaut keuntungan sehingga RM50,000 setiap bulan hasil jualan dadah itu.
“Siasatan polis juga mendapati mereka menjadikan rumah itu sebagai tempat membungkus semula dadah berkenaan ke dalam bungkusan minuman segera dan kami turut merampas beberapa barang lain antaranya mesin sealer, penimbang serta plastik bungkusan,” katanya.
Beliau berkata susulan penahanan lima individu yang tidak bekerja itu, polis merampas wang tunai, empat kereta mewah dan barang-barang kemas bernilai RM475,118.
Polis sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket itu termasuk dalang utamanya dan mereka yang ditahan itu kini direman sehingga 3 Dis ini untuk membantu siasatan. – BERNAMA