Saturday, October 26, 2024

Creating liberating content

Jeff Bezos, Isteri Sumbang...

WASHINGTON - Pengasas syarikat perdagangan elektronik, Amazon, Jeff Bezos, semalam mengumumkan beliau mewujudkan...

Polis Tumpas Sindiket Pil...

ALOR GAJAH - Polis menumpaskan sindiket pil ekstasi selepas merampas sebanyak 285.6 kilogram...

Quincy Jones Dakwa Michael...

NEW YORK - Penerbit muzik legenda yang juga 'orang kuat' di sebalik kemasyhuran...

Kastam KLIA Rampas Dadah...

SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)...

‘Dashboard Integriti’ Bantu Perkukuh Dasar Kerajaan

JOHOR BAHRU – Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) berharap pengenalan sistem dinamakan “Dashboard Integriti” dapat membantu kerajaan-kerajaan negeri membentuk dasar kerajaan yang lebih bersifat lestari dan tertumpu khususnya dalam menyelesaikan masalah berkaitan integriti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata Dashboard Integriti akan bertindak sebagai pangkalan data maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri yang dimuat naik dalam sistem pembangunan analisis interaktif bagi memudahkan kerajaan negeri memberi perhatian kepada perkembangan sesuatu isu.

Beliau berkata data-data tersebut merupakan maklumat yang dikumpulkan INTEGRITI selain kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perangkaan dan sebagainya.

“Kami mengambil inisiatif membudayakan masyarakat melalui kepelbagaian kerana kita tidak boleh menyelesaikan masalah integriti dengan hanya sekadar naik atas pentas, angkat tangan dan lafazkan ikrar ‘saya tidak akan ambil duit’, orang Islam kalau bersyahadah dengan Allah pun boleh menipu inikan berikrar dengan manusia.

“Saya belum jumpa satu negara di dunia yang menunjukkan bukti empirikal hanya dengan berikrar, masalah rasuah boleh selesai, inilah realitinya. Kita kena usahakan, kita tidak mengkritik mana-mana pihak tetapi untuk menyelesaikan masalah integriti memerlukan perancangan jangka panjang dan bukan sederhana,” katanya pada Konvensyen Integriti Negeri Johor di sini, hari ini.

Anis Yusal berkata ​​​​pihaknya juga melaksanakan program-program pengenalan INTEGRITI kepada sekolah-sekolah tadika dengan kerjasama Jabatan Pendidikan dalam usaha memupuk budaya integriti pada peringkat awal dalam menghasilkan masyarakat bermoral.

Katanya menerusi Dashboard berkenaan, kerajaan negeri akan mendapat gambaran jelas dalam perencanaan program atau aktiviti integriti agar lebih tersusun, terarah dan sistematik serta meninggalkan kesan dan impak menyeluruh ke atas kumpulan sasaran.

Maklumat disediakan juga dapat dikongsi bersama bagi tujuan rujukan dan tindakan agensi-agensi pelaksana selain memberi kemudahan secara mendalam kepada agensi pelaksana untuk mengenal pasti sebarang ketidakberkesanan atau boleh menjangkakan perubahan trend sesuatu program, katanya.


“Dashboard Integriti juga akan memperlihatkan dengan lebih jelas tentang isu-isu yang ada atau wujud di negeri masing-masing melibatkan integriti. Malah dengan maklumat yang ada, pihak-pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan tahap integriti di negeri masing-masing.

“Ini salah satu mekanisme INTEGRITI untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selaras dengan perancangan Hala Tuju Fasa Ketiga, Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diperkenalkan pada 2004,” katanya.

Beliau berkata Jerayawara INTEGRITI merupakan pendekatan “komunikasi dua hala” kerana bukan sahaja mengenal pasti isu-isu integriti dan mencari jalan penyelesaian di setiap negeri, yang berbeza dari segi sifat dan keunikan tersendiri, malah satu platform penting untuk memperkukuh usaha mencapai sasaran PIN.

Program Jerayawara INTEGRITI peringkat Johor diadakan dengan kerjasama Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, yang diadakan serentak bersama Konvensyen Integriti Negeri Johor sempena sambutan Bulan Integriti yang disambut pada November.

Johor merupakan persinggahan keempat sejak program Jerayawara INTEGRITI dilancarkan pada Ogos lepas. Jerayawara INTEGRITI sebelum ini diadakan di Selangor, Sarawak serta Pulau Pinang dan akan ke Pahang, Disember ini. – BERNAMA

Kategori