KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini dalam usaha ke arah menjalankan kegiatan penerbitan secara digital, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata DBP masih meneruskan usahanya untuk penerbitan dan pengembangan Bahasa Melayu seperti menjadi Urusetia Bulan Bahasa Kebangsaan dan menjalinkan hubungan yang akrab dengan badan bukan kerajaan yang berkaitan.
“Bagaimanapun beberapa hal berkaitan kita perlu melihat DBP memainkan peranan dalam penerbitan digital kerana saya lihat DBP masih lebih kepada penerbitan buku-buku.
“Sekiranya DBP masuk ke era digital sepenuhnya, saya percaya ia akan berada pada tahap terbaik sepertimana yang dilalui dahulunya,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang ingin tahu perancangan kerajaan dalam usaha memperkasakan fungsi agensi itu yang dilihat kini tidak relevan seperti dahulu.
Katanya DBP juga dalam usaha mengadakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan agensi-agensi lain bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam hal berkaitan penerbitan dan pengembangan buku.
Menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) mengenai jaminan kerajaan bahawa pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 dapat dilaksanakan sepenuhnya memandangkan tiada bajet khas, Mahdzir berkata peruntukan itu masih ada dalam Bajet 2018 walaupun tidak secara spesifik seperti yang diberikan menerusi dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebelum ini. – BERNAMA