SEPANG – Malaysia menepati janjinya untuk memperkasa perusahan kecil dan sederhana (PKS) dengan pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama di dunia, khusus untuk sektor yang menjadi tulang belakang ekonomi negara itu.
Pengasas Alibaba Group, Jack Ma malahan mengiktiraf usaha Malaysia tersebut.
“Saya suka menyatakan yang banyak negara bercakap mengenai apa yang mereka mahu lakukan untuk perniagaan kecil.
“Dan Malaysia adalah negara dan kerajaan pertama yang benar-benar bertindak untuk menjadikannya berlaku,” kata Ma, yang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan majlis pecah tanah Taman DFTZ di KLIA Aeropolis.
Ma adalah penasihat kerajaan Malaysia mengenai ekonomi digital.
Sebanyak 1,972 PKS sedia eksport terbabit dalam DFTZ itu.
Satu daripadanya ialah MF Borthers Sdn Bhd, yang menjual batik dan produk berkaitan dengan jenama Calice.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faiz Fathil berkata, beliau tidak berlengah-lengah lagi apabila mengetahui mengenai DFTZ.
“Kami menemui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan mereka membantu kami menyertainya,” kata usahawan berusia 34 tahun tersebut.
Menurutnya, PKS sering menghadapi masalah mendapatkan pelepasan yang cepat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“(Tetapi) dengan DFTZ, ia dapat diselesaikan. Ia membantu kami menyelesaikan dokumentasi dan membantu kami untuk penghantaran lebih cepat,” katanya kepada Bernama pada majlis pecah tanah DFTZ berkenaan.
DFTZ antara lain akan mempercepatkan pelepasan dan pengendalian sempadan kepada tiga jam berbanding enam jam ketika ini, dengan operasi terminal kargo yang lebih baik daripada empat jam kepada 90 minit.
Sebagai sebahagian daripada pembabitannya dalam DFTZ, Alibaba juga menyediakan kelas untuk usahawan, di mana “kami belajar bagaimana untuk mengeksploit ekonomi digital, manakala MDEC mengawasi dan membantu kami dengan proses itu.”
DFTZ adalah hab e-pemenuhan Alibaba pertama di luar China. Ia akan bertindak sebagai kluster kemudahan untuk pelepasan, pergudangan dan logistik kastam.
“Dengan menyertai DFTZ, kami akan berpeluang meletakkan produk kami di laman web Alibaba Group yang mempunyai kehadiran di seluruh dunia. Kini kami telah menerima tempahan dari Amerika Syarikat, Amsterdam dan China,” kata Faiz.
Beliau menggesa PKS lain untuk menyertai DFTZ dan meraih manfaat daripada platform yang disediakan kerajaan.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, DFTZ akan meningkatkan eksport barangan PKS kepada US$38 bilion, mewujudkan lebih 60,000 pekerjaan dan menyokong US$65 bilion nilai barangan untuk bergerak melalui DFTZ menjelang 2025.
PKS Malaysia buat pertama kalinya telah menerima rangsangan besar sebanyak RM23.7 bilion dari segi peruntukan, geran, pinjaman mudah dan jaminan dalam Bajet 2018 yang baru dibentangkan serta peruntukan sebanyak RM83.5 juta bagi fasa pertama DFTZ.
Ma berkata, dengan komitmen seperti itu, DFTZ akan menjadi model penting untuk negara lain mencontohinya.- BERNAMA