HARARE – Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe meletak jawatan, menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Parlimen, kata Speaker Jacob Mudenda.
Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas Parlimen memulakan proses pemecatan bagi menamatkan pemerintahan hampir empat dekad pemimpin tertua dunia itu.
Mugabe, 93, bertahan selama seminggu selepas tentera negara Afrika itu merampas kuasa manakala partinya sendiri, ZANU-PF bertindak untuk menyingkirkannya.
Sambutan gemuruh meletus dalam sidang Parlimen apabila Mudenda mengumumkan peletakan jawatan Mugabe dan menggantung prosedur pemecatannya.
Kejatuhan tiba-tiba Mugabe berpunca daripada permusuhan antara anggota elit parti pemerintah berhubung siapa yang akan menggantikannya, berbanding protes popular menentang pemerintahannya.
Tentera merampas kuasa selepas Mugabe memecat Naib Presidennya, Emmerson Mnangagwa, bagi memberi laluan kepada isterinya, Grace, 52, yang terkenal dalam kalangan pengkritik sebagai ‘Gucci Grace’ yang boros.
Mnangagwa, bekas ketua keselamatan yang dikenali sebagai ‘The Crocodile’ dijangka mengambil alih jawatan presiden. – REUTERS/BH ONLINE