LABUAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus menjalankan eksesais operasi udara untuk mengatasi kelemahan di sebalik sumber kewangan terhad.
Panglima Operasi Udara TUDM, Lt Jen Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab berkata objektif latihan itu termasuk meningkatkan tahap saling kendali membabitkan angkatan besar, menilai kesediaan pertempuran, kepakaran dan kecekapan TUDM, dan menyokong latihan serangan Tentera Malaysia.
“Kami tidak akan berkompromi atau menghentikan latihan kami disebabkan kekangan kewangan, kerana kami mahu terus menambah baik latihan kami untuk mencapai tahap kecekapan yang kami mahukan” katanya pada penutupan eksesais mini TUDM Paradise 4/17 di Pangkalan Udara Labuan di sini, hari ini.
Aset TUDM yang terlibat dalam eksesais itu ialah pesawat pejuang F/A-18D, SU-30MKM dan Hawks, pesawat pengangkut A400M, C130 Hercules danCN235, pesawat KC130, helikopter S61A dan EC725 AP.
Turut terlibat dalam eksesais itu ialah Pasukan Khas Udara (PASKAU), Skuadron 401 GBAD (Pangkalan Darat Pertahanan Udara) dan 10 Briged Para.
“Eksesais operasi udara di Wilayah 2 (Sabah dan Sarawak) melibatkan 300 anggota telah mencapai objektifnya,” kata Abdul Mutalib.
Beliau berkata eksesais selama 10 hari itu melihatkan latihan medan di peringkat taktikal bersama-sama dengan Eksesais Gempur IX dianjurkan Tentera Malaysia dengan tiga pesawat C-130 membantu latihan penerjunan beramai-ramai anggota payung terjun. – BERNAMA