KUALA PILAH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang memperluaskan lagi pasar tani di masjid-masjid sekitar negeri ini, bagi menambah pendapatan penduduk setempat.
Pengerusi FAMA Malaysia Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata dengan adanya pasar tani di masjid, secara tidak langsung ekonomi masjid dapat digerakkan melalui anggota kariah yang berminat berniaga.
Beliau berkata, buat masa ini hanya ada satu pasar tani di perkarangan masjid di seluruh negeri iaitu di Masjid Saidina Ali di Batu 46, dekat sini.
“Saya menyeru pengerusi dan jawatankuasa masjid, untuk bersama-sama menganjurkan pasar tani di perkarangan masjid,” katanya kepada pemberita selepas Program Taklimat Pengerusi FAMA Bersama Dengan Belia Parlimen Kuala Pilah, semalam.
Turut hadir Anggota Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pilah Datuk Norhayati Omar.
Sementara itu, Badruddin berkata FAMA akan sentiasa turun padang membantu usahawan tani memasarkan produk mereka serta menyampaikan maklumat terkini kepada penduduk setempat dan masyarakat sekitar.
Ini juga merupakan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu agensi kerajaan turun bertemu rakyat dan memahami kehendak nadi rakyat, katanya. – BERNAMA