KALAU dah jodoh, takkan ke mana. Akhirnya, pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin telah menamatkan zaman bujangnya di usia 27 tahun.
Dengan sekali lafaz, pelakon ini selamat diijabkabulkan dengan aktres jelita, Nur Fazura Sharifuddin pada jam 9.50 malam di hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur, semalam.
BACA : Tahniah! Fattah, Fazura Sudah Sah Nikah
Walaupun sudah bernikah, namun pasangan selebriti ini dilihat masih lagi dihimpit dengan pelbagai persoalan termasuklah berhubung prosedur pernikahan mereka.
Susulan itu, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) telah tampil dan mengesahkan bahawa pasangan ini bernikah mengikut peraturan yang betul dan ditetapkan.
Memetik sumber, jurucakap pejabat agama tersebut yang tidak didedahkan identitinya memaklumkan Fattah dan Fazura melalui prosedur perkahwinan yang sama seperti pasangan lain.
“Ya, mereka bernikah malam tadi (Isnin) dan dinikahkan oleh jurunikah daripada pihak Jawi. Kami menerima permohonan dan dokumen yang lengkap daripada pasangan tersebut.
“Fattah juga menghadiri kursus kahwin dan membuat permohonan itu melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPIMM) secara dalam talian,” katanya memetik mStar Online.
Tambahnya lagi, tiada sebarang layanan istimewa ataupun jalan mudah yang diberikan kepada pasangan selebriti popular ini berhubung prosedur pernikahan mereka.
“Kami tidak memberi sebarang keistimewaan kepada mereka dan mereka melalui semua proses itu seperti orang lain,” tambahnya yang enggan mendedahkan nama jurunikah terlibat.
Pasangan pelakon drama Hero Seorang Cinderella ini telah selamat disatukan dalam satu majlis yang berlangsung secara tertutup dan dihadiri oleh keluarga serta rakan terdekat sahaja.
Menurut beberapa sumber, difahamkan majlis resepsi perkahwinan pasangan ini dijadualkan bakal berlangsung sekitar tahun hadapan.
Apapun, sekalung tahniah kami ucapkan buat pasangan ini. Semoga segala urusan berjalan lancar dan dipermudahkan oleh Allah. Insya-Allah. – MYNEWSHUB.CC/AM