TEKA-TEKI mengenai spekulasi ‘pernikahan’ pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura beberapa hari lalu akhirnya terjawab.
Pasangan tonggak utama drama rantaian Hero Seorang Cinderella ini mendedahkan bahawa mereka masihbelum bernikah, tetapi sudah bertunang pada 13 November lalu.
Bagaimanapun, pasangan tersebut turut mengesahkan bakal berkahwin dalam masa terdekat ini.
Perkara tersebut telah diumumkan dalam satu sidang media rasmi yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur sekitar jam 6 petang, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Fazura memberitahu beliau mengakui kesal dengan tindakan segelintir pihak media yang tidak bertanggungjawab telah menyiarkan gambar rumah keluarganya baru-baru ini.
Sebelum ini, netizen dikejutkan dengan berita kononnya pasangan ini ‘bernikah’ dalam diam pada malam Selasa lalu.
Beberapa media melaporkan, majlis tersebut hanya dihadiri keluarga dan kenalan terdekat pasangan pelakon ini sahaja.
Bagaimanapun, perkara itu telah diselar oleh pasangan tersebut pada hari ini sekaligus menjawab segala persoalan yang bermain di minda anggota masyarakat. – MYNEWSHUB.CC