PELAKON, Fazura mengakui beliau sememangnya seorang yang ‘degil’ dan perkahwinan bukanlah satu keutamaan baginya buat masa terdekat memandangkan begitu sibuk dengan kerjaya.
Bagaimanapun, sifat kesungguhan yang ada pada pelakon, Fattah Amin telah berjaya menundukkan kedegilan tersebut sekali gus membuka hati Fazura untuk bersetuju menerima lamaran figura kacak itu.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Fazura Saifuddin, beliau memberitahu Fattah adalah seorang lelaki yang sangat baik.
Bukan itu sahaja, malah beliau turut mengakui melihat masa depan perjalanan hidupnya di dalam ‘mata’ jejaka kelahiran ibu kota itu.
“Saya merupakan seorang wanita yang kuat bekerja dan sejujurnya, kahwin bukanlah satu keutamaan buat masa ini. Bagaimanapun, saya melihat masa depan di dalam ‘matanya’.
“Ini termasuklah selepas mengenali Fattah beberapa bulan lalu dan dia juga mula serius apabila berbicara soal rumah tangga, saya mula terbuka dengan sebarang kemungkinan.
“Justeru, apabila Fattah melamar dan mengajak untuk bertunang, saya bersetuju,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, di ibu negara petang semalam.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tarikh pernikahan, Fattah berkata mereka kini sedang merancang pernikahan dalam masa terdekat.
Tambahnya lagi, kedua-dua majlis resepsi untuk keluarga dan rakan media serta peminat akan diadakan sekitar tahun hadapan.
Namun memandangkan masing-masing mempunyai jadual kerja yang padat, segala hal perancangan mendirikan rumahtangga diserahkan kepada pihak pengurusan.
“Dengan jadual kerja kami yang ketat, saya sendiri menyerahkan perancangan kepada pihak syarikat pengurusan saya.
“Ada beberapa perkara yang perlu kami buat. Pergi kursus kahwin dan uruskan dokumen. Insya-Allah kami akan bernikah dalam masa terdekat.
“Dua majlis resepsi untuk keluarga dan media serta peminat akan diadakan pada tahun hadapan,” ujarnya dipetik mStar Online.
Semalam, telah berlangsungnya sebuah sidang media ‘istimewa’ bersama pasangan ini bagi menjawab persoalan mengenai status terkini mereka yang dikatakan kononnya telah bernikah pada 14 November lalu.
Tampil dengan serba putih dan cukup sopan, pasangan ini dilaporkan telah berkongsi berita gembira bahawasanya mereka sudah mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu.
Tetapi pasangan ini masih belum bernikah seperti mana yang digembar-gemburkan oleh beberapa sumber sebelum ini.
Baca: Fattzura Tunang 13 Nov, Nikah Masa Terdekat
Apa-apapun, kami di Mynewshub mengucapkan sekalung tahniah buat pasangan sama cantik sama padan ini di atas pertunangan mereka.
Semoga segala urusan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T dalam menuju ke arah kebaikan. – MYNEWSHUB.CC/AM