TAWAU – Generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), khususnya di Sabah, perlu meneruskan komitmen dan usaha kerajaan dalam memperkasa aspek keselamatan demi memastikan keamanan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata generasi TN50 yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan mempunyai tanggungjawab besar dan seharusnya peka serta tidak memandang remeh terhadap isu keselamatan negara.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Semarak Esscom Bersama Masyarakat, yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Abd Muis Picho, di sini malam tadi.
Sementara itu, Abd Muis berkata setiap lapisan masyarakat perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan negara dengan menjadi mata dan telinga sekali gus menyalurkan maklumat penting yang berkaitan.
“Kita semua mesti bersatu menjaga keselamatan negara dan jangan sama sekali membiarkan anasir tidak bertanggungjawab mengganggu-gugat keamanan dikecapi ketika ini,” katanya. – BERNAMA