SINTOK – Cacat penglihatan dan pernah tercicir dari sekolah rendah tidak menghalang seorang gadis kelahiran Sabah, Harziah Khalid Yunis, untuk menempa kejayaan sehingga dikurniakan Anugerah Pingat Emas Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia di sini hari ini.
Malah lebih membanggakan apabila graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian berusia 26 tahun itu menamatkan pengajiannnya setahun lebih awal berbanding rakannya dengan memperoleh Ijazah Kelas Pertama.
Harziah berkata hanya usaha yang membezakan antara dirinya dengan insan biasa yang lain kerana beliau percaya kekuatan akal mampu membantu menggerakkan anggota badan yang lain untuk mengejar kejayaan.
“Sejak pertama kali saya sampai ke UUM, perkara paling utama yang saya tekadkan ialah saya mahu berjaya, dengan itu saya tidak boleh merungut terhadap kekurangan diri sendiri kerana ia adalah kunci kepada kegagalan,” katanya ketika ditemui pemberita pada msjlis konvokesyen itu.
Ketika ditemui, anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia perlu berusaha dua kali ganda lebih daripada rakan-rakannya yang normal kerana perlu mengambil subjek yang lebih bagi menghabiskan pengajian lebih awal.
Ketika menceritakan keadaanya waktu sekolah rendah, Harziah berkata beliau tercicir dalam persekolahan apabila masalah penglihatan menghalangya daripada belajar asas membaca dan menulis dengan betul.
“Ketika itu saya sempat masuk sekolah Tahun 1 tetapi tidak mampu belajar apa-apa. Selama dua tahun, saya tidak bersekolah namun rakan ibu saya kemudian membawa saya ke Sekolah Pendidikan Khas sewaktu berusia 10 tahun dan kemudian barulah saya boleh belajar dengan betul,” katanya.
Harziah yang kini bertugas sebagai Pembantu Am di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata, dia amat bersyukur apabila sudah memperoleh pekerjaan memandangkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) sepertinya agak sukar diterima bekerja.
Sementara itu ibu kepada Harziah, Norziba Majid, 50, peniaga kedai runcit berkata beliau amat berbangga dengan kejayaan anaknya.
”Saya sama sekali tidak menyangka dia mampu sampai ke tahap ini,” katanya yang merupakan ibu tunggal. – BERNAMA