KAJANG – Seorang guru tadika berusia 18 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan muridnya, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dilaporkan mengalami kecederaan di telinga dan lebam kedua-dua pipi, Oktober lepas.
R.Nishalini yang merupakan orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.
Nishalini didakwa telah dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Looi Qee Shine, empat tahun, dengan menggunakan tangan, di sebuah tadika di Taman Damai Indah, di sini pada 4.30 petang, 31 Okt lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi menawarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun Nishalini yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia kini tidak bekerja.
Nor Afidah membenarkan Nishalini diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jan depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan, lantikan peguam dan serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera di telinga selepas dipercayai ditampar gurunya hanya kerana dia tidak mahu menulis. Pemeriksaan awal doktor terhadap kanak-kanak itu yang dibawa ibunya ke Hospital Kajang, mendapati ada kesan kecederaan pada tisu di kedua-dua belah pipi dan telinga mangsa. – BERNAMA