IPOH – Dua pusat pemindahan ditutup manakala satu lagi dibuka yang menempatkan 108 mangsa banjir di sini setakat tengah hari ini, berbanding 174 mangsa pada sebelah pagi.
Menurut info Portal Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat pemindahan di Hulu Perak yang menempatkan 55 orang di Dewan Orang Ramai Kampung Sumpitan, Lenggong, telah ditutup.
Seramai 11 mangsa di Kuala Kangsar yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Setor juga telah pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu, di Perak Tengah, seramai 108 mangsa daripada 24 keluarga masih berada di Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga.
Ketika ini cuaca di Perak dilaporkan mendung. – BERNAMA