KUALA LUMPUR – Hospital medan tajaan Malaysia yang pembinaannya bermula Sabtu lepas berhampiran kem pelarian etnik Rohingya di Cox’s Bazar, Banglkadesh kini dilengkapi sistem rawatan air bersih bagi keperluan penghuni hospital itu.
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata sistem hasil cetusan idea inovasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Puncak Niaga Holdings Bhd itu direka untuk membantu menyelesaikan masalah penyakit bawaan air tercemar di kem pelarian.
Sistem itu menggunakan janaan kuasa solar sepenuhnya dan dilengkapi sistem UV untuk membunuh kuman dalam air, katanya kepada Bernama berhubung lawatannya ke Cox’s Bazar sempena Indian Ocean Naval Symposium (IONS) 2017, di Bangladesh baru-baru ini.
Beliau berasa amat terharu melihat semangat kesukarelawan yang ditunjukkan rakyat Malaysia bagi merealisasikan projek murni itu, malahan kerajaan Bangladesh turut menyatakan penghargaan kepada ATM dan kerajaan Malaysia atas bantuan dan khidmat mendirikan hospital itu di Cox’s Bazar.
Ahmad Kamarulzaman turut diberi penghormatan oleh tentera Bangladeh untuk melawat satu daripada kem pelarian Rohingya bagi mengagihkan bantuan barangan keperluan seperti baldi, selimut dan bijirin kepada sekumpulan pelarian.
“Melihat keadaan pelarian itu, sebagai rakyat Malaysia kita harus bersyukur nikmat keamanan yang dikecapi di negara ini kerana ramai antara masyarakat kita tidak menghargai atau mengambil mudah aspek keamanan dan keselamatan,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan hospital medan yang bakal beroperasi pada 1 Dis ini mampu menempatkan hingga 150 pesakit pada satu-satu masa, selain dilengkapi bilik pembedahan, x-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak.
Hospital medan itu dikelolakan sepenuhnya Kementerian Kesihatan menerusi sekumpulan 140 petugas terdiri Tim Perubatan Malaysia termasuk doktor pakar. – BERNAMA