KUANTAN – Setelah umat Islam dikejutkan dengan tindakan biadab sebuah hotel larang pelanggan Muslim berhijab di kolam renang, kini isu sama menimpa staf wanita Islam sektor perhotelan pula.
Malahan tindakan sebahagian besar pengusaha hotel bertindak melarang wanita Muslim bertudung untuk bekerja di bahagian kaunter hadapan (frontdesk) mendapat reaksi daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Menurut timbalan menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, larangan aneh tersebut jelas adalah melanggar hak kebebasan amalan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Islam sebagai agama Persekutuan.
Beliau menambah bahawa pihak kementerian turut tidak bersetuju dengan garis panduan berkenaan, bahkan di peringkat antarabangsa juga tiada polisi sedemikian terutama di negara ‘kaya minyak’ rantau Asia Barat sendiri.
“Majikan Malaysia perlu tahu Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan beragama yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan perlu dihormati. Malah perkara ini juga pernah terjadi ke atas seorang adik ipar saya sendiri.
“Ketika pergi temuduga sebagai pekerja di sebuah hotel, majikan memaklumkan bahawa dia tidak berjaya mendapat jawatan dimohon hanya kerana memakai tudung dan perlu memakai skirt,” kata Mas Ermieyati dengan nada kesal.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO berkata demikian kepada media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Puteri Cawangan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 Peringkat Pahang.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tersebut di Dewan SUK di sini hari ini.
Sebelum itu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan tetap mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bertugas di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).
Baca: Hotel Anti-Islam Di Kuantan Larang Pelanggan Hijab
Malah, Presiden MAH, Cheah Swee Hee, menafikan konon larangan yang dikenakan ke atas staf Muslim tersebut adalah satu bentuk diskriminasi agama sebaliknya mendakwa ia adalah sebahagian daripada polisi antarabangsa.
Beliau juga mendakwa bahawa konon setiap hotel terutamanya yang berstatus antarabangsa di seluruh Malaysia, mempunyai prosedur standard operasi (SOP) tersendiri dan polisi syarikat mengikut kod pakaian ditetapkan.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati dalam pada itu menegaskan yang isu sedemikian tidak sepatutnya timbul lagi ketika negara pula sedang menuju ke arah proses pembangunan sejajar matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Puteri UMNO mahu kerajaan lihat isu ini secara serius. Ia tidak adil kepada golongan wanita khasnya anak muda ingin cari kerja dan bertentangan Perkara 8 Perlembagaan mengenai hak kebebasan asasi beragama,” katanya.
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) sebelum ini mendedahkan aduan kakitangan hotel kepada badan itu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.
Perkara itu juga berlaku kepada pelajar yang mengikuti kursus perhotelan apabila memohon latihan amali. Ia malah tidak selari dengan prinsip hak asasi manusia antarabangsa kerana jelas menyekat kebebasan wanita untuk bekerja.
Ada juga pihak meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), majlis agama Islam negeri dan pihak berkuasa tempatan membuat beberapa usul untuk memastikan hotel tidak mendiskriminasi wanita Islam di negara ini.
Jika hotel perlu dapat tanda halal Jakim untuk menarik tetamu Muslim, kenapa tidak dalam isu pekerja bertudung kerana mereka menjalankan operasi di negara majoriti penduduk beragama Islam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA