TAHNIAH diucapkan kepada pelakon tinggi lampai Idris Khan yang akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.
Awal bulan lalu, Idris menyatakan yang dia bakal berkahwin pada bulan hadapan tetapi tidak mendedahkan lagi tarikh sebenar hari bahagianya itu.
Namun, kini nampaknya Idris menjelaskan yang dia bakal menikahi seorang wanita 26 tahun pada 20 Januari 2018.
Menurut Idris, dia akan bernikah dengan Sanaa Jeljalane di Kuala Lumpur, tetapi lokasi pernikahan tersebut belum ditetapkan lagi.
“Saya dah ada tarikh untuk majlis pernikahan saya dan kekasih yang akan diadakan pada 20 Januari tahun hadapan.
“Majlis hanya akan diadakan di Kuala Lumpur sahaja. Tidak akan ada majlis di Maghribi. Cuma buat masa ini lokasi belum ada.
“Saya ada beberapa lokasi yang sudah difikirkan tapi tak tahu lagi nak pilih yang mana,” katanya dipetik mStar Online.
Idris atau nama sebenarnya Idris Khan Abdul Ghaffar Khan telah menjalin hubungan cinta dengan gadis kelahiran Maghribi itu sejak dua tahun lalu.
Tambah Idris, dia kini berasa tenang walaupun agak sibuk melakukan persiapan perkahwinan. Tambahan pula, banyak proses yang perlu diselesaikan memandangkan Sanaa bukan orang Malaysia.
Khabarnya, mereka akan terus menetap di Kuala Lumpur selepas sah bergelar suami isteri nanti.
“Saya rasa tenang sahaja tapi banyak persiapan yang belum dilakukan memandangkan dia bukan orang Malaysia.
“Kami nak kena uruskan banyak dokumen penting dari sana. Insya-Allah selepas kahwin dia akan menetap di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Idris menyatakan dia akan menceburi bidang perniagaan pada tahun hadapan di sini.
“Saya akan memulakan perniagaan menanam jagung bijian pada tahun hadapan di sebidang tanah kerajaan,” tambahnya lagi.
Mengenai perkembangan seninya pula, pelakon drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin ini sedang giat mengadakan jelajah bagi filem pertama terbitannya bersama Pekin Ibrahim.
Filem yang bertajuk KL Wangan itu bakal diyangkan di pawagam bermula 21 Disember ini.
Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Idris Khan dan pasangan serta artis lain yang bakal mendirikan ‘masjid’ tidak lama lagi! – MYNEWSHUB.CC/SA