SIK – Seorang imam di Kampung Telaga Batu, maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Selekoh Duyong, Telaga Batu, semalam.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa Ahmad Hishamudim Ahmad, 62, yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sik.
Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Sik, namun disahkan meninggal dunia jam 3.15 petang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan dari Gulau menuju pekan Sik terbabas di selekoh tajam lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.
“Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Sik.
“Pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – myMetro Online