AKHIRNYA segala tanda tanya terjawab apabila isteri pertama kepada pemuzik bebas program Gegar Vaganza yang dikenali sebagai Uda, ‘membocorkan rahsia’ dan menerima Izreen Azminda sebagai madunya.
Menurut portal mStar Online, sebuah portal berita tempatan telah menyiarkan kenyataan daripada isteri pertama pemuzik tersebut yang dikenali sebagai Intan.
Difahamkan Intan telah mengetahui perkara tersebut pada sekitar dua minggu yang lalu dan dia redha dengan takdir bahawa dia sudah dimadukan.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu perkara ini pada dua minggu lalu dan tidak sangka kerana hubungan kami baik sebagai suami isteri.
“Pada mulanya saya tidak terima namun disebabkan kasih sayang kepada suami dan anak, saya redha dan terima takdir yang telah ditentukan,” kata Intan.
Rumah tangga mereka kini berusia empat tahun dan telah dikurniakan dua orang anak yang berusia antara 11 bulan dan tiga tahun.
Dalam masa yang sama, Intan seakan-akan pasrah dan mengakui bahawa apa yang terjadi itu berpunca daripada kekurangannya sebagai seorang isteri.
“Dia suami yang baik. Kalau bab anak-anak, dia bertanggungjawab. Saya yakin dia mampu untuk berlaku adil.
“Susah nak terima. Mungkin salah saya, tak pandai jaga suami,” ujarnya lagi.
Namun, Izreen masih belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan perkara ini.
Menurut sumber, Izreen bakal mengadakan satu majlis doa selamat pada 7 Disember depan di Damansara Perdana.
Sebelum ini, peminat setia Izreen seakan-akan tertanya tanya apabila pelakon berusia 32 tahun itu ada menukar biodata di Instagram miliknya dengan menulis ‘Madam Izreen’. Tetapi selepas beberapa hari, tulisan itu sudah tidak kelihatan lagi.
Apa pun, selamat diucapkan kepada Izreen diatas perkahwiann yang berlangsung. Semoga perkahwinan kali ini akan memberi kebahagian Izreen dan anak, Muhammad Adrian Umar. – MYNEWSHUB.CC/AH