LABUAN – Program bulanan Pemuda UMNO Labuan, ‘Jom Isi Minyak’ untuk motosikal 150cc dan ke bawah terus meraih populariti apabila lebih daripada 800 penunggang memenuhi stesen minyak Petronas Saguking di sini untuk mengisi minyak motosikal masing-masing semalam.
Naib Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pemuda UMNO yang diperkenalkan sejak 2016 itu akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 80,000 pemilik motosikal di tiga Wilayah Persekutuan iaitu di Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur menjelang Disember tahun ini.
Program itu turut dihadiri Bendahari Pemuda UMNO Titiwangsa Datuk Mohd Nizar Najib, Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuan Datuk Peter Mak dan Naib Ketua UMNO Labuan Datuk Khalid Ghani.
“Pada awalnya kami mengadakan program ini di Labuan bertujuan membantu belia menganggur di sini. Selepas melihat sambutan menggalakkan dengan lebih daripada 1,000 penunggang mendapat manfaat daripada program ini setiap bulan, kami meluaskannya ke Putrajaya dan Kuala Lumpur hujung tahun lepas dan ke kawasan Parlimen lain di Kuala Lumpur awal tahun ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Rafi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata mereka akan terus menambah baik program ini bagi menjadikannya lebih menarik dan bermanfaat, dengan mengadakan cabutan bertuah yang menawarkan aksesori motosikal seperti topi keledar. – BERNAMA