JELI – Jalinan Rakyat (JR) antara senjata UMNO yang paling kuat dalam memperkasa parti selain digeruni pembangkang, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Shahrizat berkata kekuatan JR adalah melalui perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat secara konsisten oleh lebih 500,000 anggota sayap Wanita di seluruh negara ketika ini.
“JR adalah senjata kita yang paling kuat dalam mendekati rakyat sebab itu JR digeruni pembangkang. (Saya tidak mahu) JR tidak mahu membawa pengaruh negatif dalam politik tetapi memberi servis kepada rakyat.
Di Kelantan juga saya nampak penerimaan rakyat terhadap JR amat baik,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran JR dan JR Plus Peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di sini, hari ini.
Majlis yang dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed itu turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Kelantan Datin Rahimah Mahammad serta lebih 5,000 anggotanya.
Shahrizat berkata JR terbukti lebih konsisten dan bukan bersifat ‘touch and go’ dan sentiasa konsisten dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.
Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan sepatutnya mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis jika benar kenyataan editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown terhadap dirinya adalah satu fitnah.
Beliau berkata setakat ini Ambiga belum membuat sebarang kenyataan bagi menjawab perkara tersebut dan tindakan mendiamkan diri itu menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak.
“Ambiga perlu tampil membersihkan namanya kalau beliau benar difitnah, dan dalam masa yang sama beliau perlu mengakuinya jika dakwaan tersebut betul. Kita hendak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Brown sebelum ini menamakan Ambiga sebagai sumber terhadap laporan mengaitkan pemimpin tertinggi PAS menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – BERNAMA