GAMBAR-GAMBAR berdua yang dimuat naik Hafeez Mikhail dalam Instagramnya mencetuskan tanda tanya netizen mengenai hubungannya dengan penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha.
Baca: Hafeez Mikail, Daiyan Trisha Pula Hangat Jalin Cinta?
Desas-desus mengatakan kedua-dua mereka sedang hangat bercinta. Betul ke?
Pelakon lelaki itu tampil memberikan penjelasan tentang isu yang hangat diperkatakan kini.
Menurut pelakon drama Hati Perempuan itu, kedua-dua mereka memang rapat. Tapi, hubungan yang terjalin belum lagi sampai tahap bercinta.
Namun, pemilik nama sebenar Muhammad Hafiz Muhammad Zaki tidak menolak andai satu hari mereka ditakdirkan sebagai pasangan kekasih.
“Apa yang saya boleh katakan kami berdua memang sangat rapat. Saya selesa berkawan dengan dia dan begitu juga dia.
“Tapi nak kata bercinta tu tak kot. Kita tak tahu apa yang akan jadi selepas ini, mana tahu kami berdua jatuh cinta.
“Cuma sekarang ini, kami kawan yang sangat rapat,” katanya dipetik mStar Online.
Tambah Hafeez, mereka mula berkenalan sekitar Disember lepas dan menjadi rapat selepas bergandingan dalam filem Busker yang akan ditayangkan Januari depan.
“Kami mula kenal pada Disember tahun lalu ketika menjalani penggambaran filem Busker.
“Dalam filem tersebut, kami digandingkan sebagai pasangan kekasih. Sejak itu, saya mula rapat dengan dia.
“Sampai sekarang kami masih berkawan baik dan sentiasa menyokong satu sama lain,” ujarnya.
Gambar-gambar yang dimuat naik tersebut mendapat perhatian netizen dan ada yang berpendapat bahawa mereka memang sesuai menjadi pasangan kekasih.
Busker merupakan gandingan pertama antara Hafeez Mikail dan Daiyan Trisha dalam layar perak. Dengar-dengarnya mereka merupakan pasangan kekasih dalam filem itu.
Mungkin keserasian yang terjalin semasa pengambaran filem tersebut masih kekal sehingga kini membuatkan mereka berdua rapat sehingga dilihat ke acara atau majlis-majlis bersama. – MYNEWSHUB.CC/SA