KUALA LUMPUR – Putera Diraja Britain, Putera Charles mempunyai aturcara padat pada hari ini yang termasuk berinteraksi dengan pemimpin belia Komanwel dan melihat dengan lebih dekat sokongan yang diberikan terhadap operasi syarikat pemula niaga.
Baginda menjadi tetamu kehormat pada Sidang Kemuncak Belia Komanwel yang berlangsung di kampus University of Nottingham Malaysia di Semenyih, di pinggir ibu negara Malaysia.
Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC) Kishva Ambigapathy berkata sidang kemuncak itu bermula hari ini sehingga Ahad, menumpukan terhadap usaha menerokai empat isu pembangunan terkini iaitu dasar iklim dan kewangan; ekonomi digital dan keusahawanan; pembinaan keamanan dan ketaksaksamaan global; dan kesepaduan sosial.
“Putera Charles memberi perhatian pada idea-idea dilontar golongan muda terhadap subjek yang dibincangkan,” katanya dan menurutnya Prince of Wales itu dilihat kagum dengan semangat ditunjukkan oleh perserta sidang kemuncak itu yang terdiri daripada lebih 200 pemimpin belia daripada lebih 50 negara Komanwel.
Sidang kemuncak belia itu, katanya merupakan acara prakonsultasi sebelum Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2018 di United Kingdom.
Putera Charles diiringi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengiring Datuk Seri S.K. Devamany, yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Putera Charles dan isteri Camilla, Duchess of Cornwall, tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi bersempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom.
Pasangan diraja itu dijadual melawat beberapa tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang serta menghadiri pelbagai acara penting sepanjang lawatan sehingga 8 Nov.
Waris takhta kerajaan British itu turut melancarkan ‘Forgotten Foods Network’ – inisiatif global yang diterajui Crops for the Future (CFF) di ibu pejabat CFF yang terletak berhampiran dengan kampus universiti itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CFF Prof Sayed Azam Ali berkata diet seimbang daripada pelbagai jenis makanan merupakan kunci kepada kesihatan dan nutrisi optimum.
Beliau berkata ini masanya bagi ‘makanan yang sudah dilupakan’ – makanan tradisional dan tumbuh-tumbuhan yang dimakan oleh nenek moyang – dapat memainkan peranan penting, terutamanya dengan keadaan iklim di masa depan yang sukar diramal dan mudah terjejas.
“Inisiatif ini juga akan meningkatkan kesedaran dan penyelidikan saintifik terhadap makanan dan tumbuh-tumbuhan yang sudah dilupakan,” katanya kepada pemberita selepas acara itu di sini, hari ini.
Putera Charles meluangkan masa kira-kira 20 minit di makmal-makmal CFF.
Terdahulu pada hari ini, baginda melawat WORQ, ruang kerja bersama dan komuniti produktiviti berskala besar di Taman Tun Dr Ismail di sini.
Baginda turut melihat dengan dekat bagaimana keusahawan dan pembangunan syarikat pemula niaga , termasuk di sekolah, didorong dan disokong di negara ini.
WORQ memberi sokongan kepada operasi peringkat awal syarikat pemula niaga sehingga perniagaan sedia membuat pelaburan serta perusahaan kecil dan sederhana. – BERNAMA