SEBULAN yang lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah biadab berkata bahawa kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) sebagai gila dan pemimpin BN itu sebagai tidak siuman.
Selama tujuh minit Guan Eng berucap tidak kurang 20 perkataan ‘gila’ dan ‘tidak siuman’ terbit daripada mulutnya ketika himpunan haram Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor pada 14 Oktober lalu.
“Kita berhimpun di sini, kerana kita mahu Malaysia jadi ‘nobel’ balik, kita mahu Malaysia tidak dipimpin oleh satu parti pemerintah yang sudah gila” kata Guan Eng dengan nada angkuh pada malam himpunan lesu tersebut.
Selain itu, Guan Eng berbangga dengan acara pesta arak berjaya dianjurkan di Pulau Pinang malah sombong berkata lagi “Kalau mabuk, dia (si peminum arak) boleh ubat balik, tapi kalau sudah gila, tiada ubat boleh ubat sama dia.”
Nampaknya Guan Eng mempertahankan lagi orang yang mabuk dan minum arak semasa program Oktoberfest. Malah menghina pemimpin BN sebagai gila yang tidak boleh diubat dan lebih teruk daripada orang minum arak.
“Gila punya parti lah… yang gila dan tidak siuman… tidak ada hak untuk memerintah negara… kita buang sama dia… kita ganti dengan Pakatan Harapan,” teriak Guan Eng kutuk BN lagi ketika berucap dalam himpunan hambar itu.
Sehari selepas berucap kata kerajaan BN sebagai gila, Guan Eng membuat satu lagi kenyataan kurang ajar bagi mempertahankan Oktoberfest yang dianjurkan di Pulau Pinang dengan kata Pulau Pinang bukan “negeri Taliban”.
“Pelampau ini mungkin berjaya haram Oktoberfest di Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi mereka tidak akan berjaya di Pulau Pinang. Kami tidak minat melarang atau ganggu kebebasan rakyat. Kami bukan negara Taliban,” katanya.
Kelmari banjir yang berlaku di Pulau Pinang bukan bencana bah yang biasa. Apakah ini balasan Tuhan kepada keangkuhan si Guan Eng dan penganjuran pesta arak terbuka? Air banjir itu berwarna coklat bersalut lumpur.
Dari mana datangnya lumpur? Turun pula bersama dengan air hujan? Semua rakyat Pulau Pinang kini harus menyalahkan sikap rakus Guan Eng yang membenarkan segala projek projek hartanah mewah di lereng bukit.
Air itu dari projek milik kontraktor kaya di lereng bukit. Siapa yang gadai tanah tanah di lereng bukit itu untuk dibangunkan? Hasil keseluruhan industri ‘jual tanah’ Pulau Pinang oleh Guan Eng ini sudah bernilai RM16 bilion.
Orang kaya yang dapat untung, tapi rakyat dapat banjir lumpur sahaja. Elok sangatlah seorang wakil rakyat DAP aib dimaki hamun ramai penduduk selama dua hari berturut turut ketika tinjau suasana pasca banjir di Pulau Pinang.
Wakil rakyat DAP itu pula sekadar pergi melawat dan swafoto sahaja. Kemudian apabila diminta tolong, mereka selamba berkata konon mereka tiada kuasa. Memang kena maki hamunlah dengan rakyat yang undi mereka itu.
Lucu wakil rakyat DAP tiada kuasa? Walhal beliau boleh sahaja telefon pegawai terlibat untuk datang. Habis itu penduduk mahu minta tolong daripada siapa? Bukankah Guan Eng kata kerajaan yang ada di Putrajaya sudah gila!
Sekarang ini, apabila ditimpa musibah, siapa yang jadi ‘gila’ waktu malam menelefon pemimpin BN untuk meminta bantuan? Padahal jika Guan Eng tidak telefon pun, kerajaan BN sudah siap siaga membantu rakyat Pulau Pinang.
Guan Eng telefon jam 3 pagi, sedangkan bantuan sudah datang awal sebelum itu lagi. Angkatan Tentera Malaysia menerusi pasukan pemantau 509 Askar Wataniah telah diatur gerak seawal jam 1.30 pagi untuk membantu mangsa.
Bilik gerakan kemudan diaktifkan pukul 4.30 pagi untuk menyelaraskan usaha bantuan. Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, melawat Pulau Pinang sehari selepas dihubungi Guan Eng.
Bukan main lagi, Guan Eng memeluk erat Ahmad Zahid, kemudian makan nasi bersama-sama di pusat pemindahan banjir. Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pula datang melawat mangsa banjir di Pulau Pinang.
Guan Eng tunggu awal lagi di tangga kapal terbang untuk menyambut Perdana Menteri dan isteri. Kemudian apabila Datin Seri Rosmah Mansor turun dari pesawat, terus Guan Eng bersalam dan memperkatakan sesuatu kepadanya.
Dengan muka penuh sugul, entah apa diluah Guan Eng kepada Rosmah. Inilah jiwa besar pemimpin BN. Tidak pun menyimpan perasaan balas dendam terhadap orang yang hasut rakyat dan biadab menuduh mereka sebagai gila.
Bantuan kepada mangsa banjir dihulur tanpa kira parti. Kalau hendak kira jumlah yang kerajaan BN salur, ia jauh berkali-kali ganda lebih banyak daripada hanya RM1 juta disumbangkan oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.
Di mana kawan Guan Eng yang lain? Juga Mahathir Mohamad dan bapanya Lim Kit Siang? Mereka sibuk dengan acara selamatkan banduan liwat di Penjara Sungai Buloh. Kroni Mahathir kaya raya, mana sumbangan mereka?
Akhirnya kerajaan BN juga yang datang bantu. Elok rakyat Pulau Pinang serah baliklah kerajaan negeri kepada BN dalam Pilihan Raya Umum nanti. Sudah terbukti kerajaan DAP gagal sepenuhnya menjaga rakyat di Pulau Pinang.
Guan Eng sepatutnya kena minta maaf balik secara terbuka kepada pemimpin BN yang dituduh sebab cakap mereka sebagai tidak siuman ini. Rakyat ternanti-nanti permohonan maaf Guan Eng itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA