SEREMBAN – Kerajaan negeri meminta pemilik-pemilik tanah di Kawasan Penternakan Babi (PFA) di Bukit Pelanduk dekat Port Dickson, untuk membentuk satu jawatankuasa yang dapat menentukan hala tuju pembangunan kawasan berkenaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri tidak boleh menentukan jenis pembangunan yang hendak dibangunkan di atas tanah itu, dan ia terpulang kepada pemilik-pemilik tanah.
“Kerajaan negeri bertegas untuk tidak membenarkan kawasan tersebut menjadi pusat ternakan khinzir kerana ia sangat berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
“Sebab itu saya minta pemilik-pemilik tanah ini menubuhkan jawatankuasa dan beri cadangan kepada kerajaan untuk membangunkan kawasan tersebut sama ada sebagai kawasan perumahan, komersial atau pembangunan bercampur,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Mohamad berkata kerajaan akan membantu pemilik-pemilik tanah tersebut membangunkan kawasan itu seperti mengurangkan kos pertukaran status dari tanah pertanian kepada tanah kediaman.
“Kita akan membantu mereka kerana mereka sudah banyak melabur di sana,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis akan membentangkan kepada kerajaan negeri punca kebakaran Pasar Besar Seremban yang terbakar pada 9 Sept lepas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, sebahagian besar tingkat atas pasar dua tingkat itu yang menempatkan gerai menjual makanan, bunga, pakaian dan barangan keperluan harian musnah dalam kebakaran. – BERNAMA