KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan pusat akan membantu mana-mana negeri yang ditimpa musibah seperti banjir atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab.
Perdana Menteri berkata kerajaan pusat akan segera menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri termasuk yang ditadbir parti pembangkang tanpa perlu kerajaan negeri memintanya.
Banjir teruk, yang melanda Pulau Pinang berikutan hujan lebat berterusan semalam sehingga lebih 2,000 mangsa terpaksa dipindahkan, menyebabkan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada kira-kira 3.30 pagi memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.
Najib berkata ATM akan memberi bantuan sewajarnya dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sendiri akan berlepas ke Pulau Pinang petang ini.
“Segalanya akan dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara dan kita akan membantu mangsa-mangsa banjir dan keperluan mereka akan kita tentukan,” katanya kepada sidang media selepas melancarkan misi membina dan mengendalikan hospital medan bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh di sini hari ini.
Perdana Menteri turut meninjau latihan percubaan operasi hospital medan yang diadakan di Hospital ATM Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata barangan logistik hospital berkenaan dijangka diterbangkan pada 20 Nov manakala kumpulan pertama anggota yang terlibat bagi operasi hospital berkenaan akan berlepas sehari kemudian.
Katanya operasi hospital medan setaraf hospital daerah berpakar dalam negara itu dicadang beroperasi selama tiga bulan dengan dikendalikan Kementerian Kesihatan dan orang perseorangan sebagai sukarelawan, manakala hospital didirikan anggota ATM.
“Ini adalah satu usaha secara bersama dan manifestasi kepada kesungguhan kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia untuk terus perjuangkan kebajikan dan kepentingan orang pelarian Rohingya yang ditimpa tekanan yang amat dahsyat,” katanya dan menambah kata bahawa tumpuan hospital berkenaan akan diberikan kepada penjagaan bayi dan kanak-kanak.
Najib berkata hospital serba lengkap dengan kemudahan mengendalikan pembedahan termasuk pembedahan ortopedik dan membuat penyelidikan itu apabila siap akan mewujudkan kehadiran Malaysia yang amat bermakna.
“Inilah kemungkinan bantuan terbesar yang mana-mana negara lain (juga akan lakukan). Saya dah kata dalam isu Rohingya ini kita keterhadapan, bukan sahaja daripada segi tindakan diplomasi dan tindakan di forum-forum tertentu tetapi juga daripada segi bantuan.
“Kita dah bagi bantuan makanan, selimut, tuala dan sebagainya tetapi kali ini kita akan mewujudkan satu penempatan yang sangat bermakna,” katanya.
Hospital dengan kapasiti maksimum 100 buah katil dengan wad lelaki dan perempuan diasingkan itu juga lengkap dengan kemudahan melakukan x-ray, penjagaan neonatal asas dan bilik bersalin. – BERNAMA