SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini memeterai kerjasama dengan Rapid Rail Sdn Bhd dalam pembangunan industri kereta api di negara ini yang bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penuntut universiti itu.
Perjanjian selama tiga tahun itu membabitkan usahasama kedua-dua pihak dalam melakukan penyelidikan dan rundingan seterusnya melahirkan modal insan yang setanding dengan kehendak industri pada masa depan.
Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan kerjasama itu ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Ir Zohari Sulaiman dalam satu majlis di sini.
Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Azmi Abdul Aziz serta Anggota Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Zaini Hassan.
Menurut Hassan, walaupun sektor rel dan kereta api merupakan bidang baharu di UiTM, namun MoU berkenaan disifatkan sebagai peluang terbaik untuk penuntut institusi itu meningkatkan skil serta pengetahuan mereka memandangkan industri pengangkutan tersebut sedang rancak berkembang pada masa kini.
“Kandungan MoU ini kita akan masukkan dalam elemen pembelajaran dan penyelidikan. Manfaatnya bukan hanya melibatkan satu jurusan sahaja tetapi banyak lagi fakulti lain akan mendapat keuntungan termasuk pelajar ijazah tinggi yang boleh melebarkan bidang kajian akademik mereka.
“Kami harap hasil perjanjian ini dapat menjadikan UiTM sebagai pusat rujukan dalam industri rel dan kereta api pada masa depan selain memberi nilai tambah kepada graduan dari institusi ini,” katanya.
Azmi pula berkata, perkembangan industri kereta api yang mampu mewujudkan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan di masa hadapan merupakan faktor utama pihaknya menandatangani MoU itu selain sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran daripada luar.
Jelasnya, perjanjian itu merupakan fasa awal bagi kedua-dua pihak menggembleng tenaga untuk meningkatkan lagi perkhidmatan jenis pengangkutan berkenaan seterusnya melahirkan lebih ramai pakar tempatan yang memenuhi kehendak industri.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan melangkah ke fasa seterusnya jika MoU berkenaan berjaya menyerap ramai dalam kalangan graduan UiTM bekerja dengan syarikat tersebut.
“Jalinan kerjasama ini ‘not a free ride’ kerana kita akan beri pelbagai pendedahan kepada pelajar memandangkan banyak lagi sektor berkaitan industri ini belum diterokai. Cuma, mereka mesti menunjukkan minat yang amat tinggi untuk diterima bekerja dengan Prasarana,” katanya. – BERNAMA