BATU PAHAT – Minat mendalam terhadap kerja bengkel oleh dua anak muda tempatan, telah menepis persepsi terhadap kerjaya ‘Dirty, Difficult and Dangerous’ (kotor, sukar dan bahaya) atau 3D yang sering kali disalah tafsir oleh golongan muda sebagai kerjaya yang tidak membawa kesenangan.
Buktinya, baru-baru ini mereka muncul juara dalam pertandingan peringkat kebangsaan Cabaran Teknologi Pembaikan Badan dan Cat yang dianjurkan oleh Honda Malaysia.
Dua anak muda itu, Muhamad Azizul Azizi Zulkeflly, 25, dan Mohammad Alif Redza Karto, 22, yang mewakili K. M. Lim Motor Sdn Bhd kini sedang dalam persiapan untuk saingan peringkat antarabangsa bagi pertandingan sama di Thailand hujung tahun ini.
Kejayaan kedua-dua anak muda ini juga adalah hasil daripada didikan dan tunjuk ajar oleh Pengurus Pembaikan Badan dan Cat K. M. Lim Motor Sdn Bhd Christopher Lim.
Beliau berkata kunci utama kepada kejayaan anak didiknya adalah berdisiplin dan dedikasi serta mengutamakan keselamatan dalam setiap prosedur standard operasi (SOP) yang dilakukan di tempat kerja.
“Saya mendidik mereka untuk mematuhi setiap SOP gerak kerja yang dilakukan dan langkah kerja di bengkel telahpun kita susun secara teliti. Jadi kalau mereka buat kerja, mereka tidak akan lupa pada prosedur.
“Ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh bengkel di luar sana yang mana kadangkala mereka lebih mementingkan tempoh untuk menyelesaikan permintaan pelanggan sehingga mengabaikan kualiti kerja dan keselamatan, tetapi tidak di sini,” katanya.
Christopher yang juga pengarah bengkel berkenaan berkata setiap pekerja akan dilatih dari peringkat awal tanpa mengira latar belakang dan jantina mereka, sebagai usaha melahirkan golongan belia yang benar-benar mahir dalam setiap sektor perbengkelan.
“Saya mempunyai 28 pekerja di bengkel 4S (jualan, servis, alat ganti dan pembaikan badan serta cat) ini yang mana saya juga menggalakkan penyertaan pekerja wanita dalam bidang ini kerana kita mahu menepis tanggapan bahawa kerja-kerja bengkel ini hanya boleh dilakukan oleh lelaki.
“Setiap pekerja akan diajar bermula daripada perkara paling asas seperti pemeriksaan keselamatan, kerosakan, sebelum ke peringkat yang lebih mencabar seperti mengecat dan membaikpulih,” katanya.
Christopher berkata majoriti pekerjanya adalah daripada golongan belia yang telah dilatih untuk memahami setiap SOP kerja setiap bahagian dalam bengkel berkenaan bagi memastikan kualiti kerja dan kepuasan pengguna terjamin.
“Kami juga menggunakan barangan bengkel daripada 3M Malaysia Sdn Bhd, yang banyak mempercepatkan proses dan kerja-kerja pembaikan di bengkel, pada masa sama mengutamakan kualiti kerja dan keselamatan terhadap pekerja kami,” jelasnya, yang mempunyai pengalaman di bengkel selama 23 tahun.
Beliau berkata teknologi yang dibawa oleh 3M jelas memberi perubahan nyata dalam produktiviti yang dijalankan oleh bengkelnya apabila dalan sebulan, bengkelnya mampu memberikan perkhidmatan terhadap kira-kira 100 kenderaan.
Kerja-kerja mengecat kenderaan sebelum ini memerlukan masa hingga tiga hari untuk disiapkan tetapi dengan bantuan teknologi terkini, kerja seperti itu mampu disiapkan dalam 30 minit sahaja.
Katanya harga yang ditawarkan juga berbaloi berikutan kualiti dan ketahanan produk yang dihasilkan 3M.
Beliau berkata kerjasama dengan pihak 3M Malaysia Sdn Bhd juga telah memberi peluang kepada dirinya dan kakitangannya untuk belajar tentang cara-cara SOP yang dilakukan oleh syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa. – BERNAMA