KUALA LUMPUR – Kegagalan institusi pendidikan tinggi swasta mematuhi prosedur Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) menyukarkan usaha polis menangani penyalahgunaan pas pelajar asing di negara ini, khususnya dari Nigeria yang banyak terlibat dalam sindiket dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata berdasarkan tangkapan terhadap pelajar warga Nigeria, pihaknya mendapati masih banyak kolej swasta mengabaikan EMGS.
Siasatan awal mendapati kebanyakan warga Nigeria yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah tidak menghadiri kelas dan hanya menggunakan pas pelajar itu untuk berada di negara ini bagi mengedar dadah, katanya dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
EMGS, satu agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, berperanan melakukan saringan keselamatan terhadap warga asing yang memohon belajar di negara ini.
Mengulas lanjut, Mohmad berkata siasatan mendapati warga asing terbabit hanya berdaftar melalui kolej swasta dan tidak menerusi EMGS seperti yang ditetapkan berkuat kuasa Julai tahun lepas.
Mengakui pelaksanaan EMGS berkesan dalam mengurangkan kes tangkapan pelajar asing bersabit dadah, beliau menggesa Kementerian Pengajian Tinggi memantau kolej-kolej swasta terbabit yang pada pandangannya tidak mementingkan kelayakan akademik dan hanya memikirkan kelangsungan perniagaan.
Mengenai statistik tangkapan pelajar Nigeria bersabit dadah, Mohmad berkata dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pihaknya menahan 45 orang berbanding 63 orang bagi 2016 dan 33 orang pada tahun sebelumnya.
“Sejak 2012 sehingga September tahun ini, seramai 418 warga Nigeria ditahan membabitkan rampasan dadah bernilai lebih RM54 juta,” katanya.
Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengadakan mesyuarat dua hala bersama pihak berkuasa Nigeria bagi membincangkan kaedah penguatkuasaan dan pencegahan jenayah pengedaran dadah dalam kalangan warganegara terbabit di negara ini.
“PDRM akan meneruskan perkongsian maklumat dan kerjasama yang baik dengan Agensi Penguatkuasaan Antidadah Nigeria (NDLEA) dan pihak berkuasa lain bagi mengatasi jenayah tersebut,” katanya. – BERNAMA