LONDON – Kerajaan Malaysia memberi jaminan akan memastikan Selat Melaka dan Singapura yang merupakan antara laluan dagang terpenting di dunia sentiasa terbuka dan selamat untuk perdagangan antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai berkata, laporan tahunan trafik selat yang menjadi laluan perdagangan terpenting Timur dan Barat itu menyaksikan peningkatan melebihi 85,000 kapal ketika ini.
“Malaysia sejak sekian lama memperakui peranan penting selat untuk perkapalan dan perdagangan antarabangsa. Trafik yang dilaporkan di Selat telah meningkat setiap tahun sehingga 85,000 kapal.
“Selat masih menjadi laluan perdagangan Timur-Barat yang penting dan penghantaran antarabangsa. Kami mengambil segala usaha untuk memastikan bahawa selat ini kekal terbuka dan selamat untuk penghantaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa semalam.
Tiong Lai dalam pada itu menyatakan sokongan Malaysia kearah mengurangkan kandungan sulfur bahan api kepada 0.5 peratus menjelang 1 Januari 2020.
Menurut beliau, sebagai salah satu Projek Pilot Negara Projek GloMEEP adalah bekerjasama dengan pihak industri bagi memastikan bekalan bahan api yang bersih untuk kapal
“Malaysia turut meneroka alternatif hijau baru untuk meningkatkan permintaan industri perkapalan yang semakin meningkat. Antara lain, kami sedang meneroka penggunaan LNG, bio-diesel dan penggunaan teknologi hibrid untuk `craft’ kecil,” katanya. – Mynewhub.cc