KUALA LUMPUR – Seorang konsultan wanita di sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan kenalannya menyertai pakej umrah yang tidak wujud, dua tahun lepas.
Wan Norazizulbaitie Wan Zulkafli, 40, didakwa telah menipu Badariah Hashim, 57, dengan memperdayakan mangsa dengan tawaran pakej Umrah Faāaliyah yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM19,250 kepada tertuduh untuk menyertai pakej umrah tersebut.
Wanita itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di rumah mangsa di Taman Seri Keramat Tengah, di sini pada 8.30 malam, 9 Nov 2015.
Tertuduh yang dikatakan berkenalan dengan mangsa di Madinah, tahun lepas didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan dia yang telah berkahwin dan merupakan anak sulung dari enam beradik itu perlu menyara ibu bapanya.
Majistret Haslinda A.Raof membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Disember untuk sebutan semula kes. – BERNAMA