SIAPA yang tak terkilan apabila dah sign kontrak untuk jadi duta, tapi tiba-tiba kontrak pula dibatalkan? Selalu kes macam ni pasti akan terjadi kepada golongan selebriti.
Kini pelakon cantik jelita, Jue Aziz dikatakan sangat terkilan dengan sebuah syarikat kecantikan apabila kontraknya sebagai duta telah ditamatkan serta-merta tanpa sebab yang munasabah.
Bertambah sedih apabila Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, mendakwa bahawa suaminya, Bayu Daniel turut terkena tempias berkenaan isu tersebut apabila dia telah dituduh dengan perkara bukan-bukan.
Jue, 34, telah mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Bayu Daniel yang merupakan pemuzik dari Indonesia pada tahun 2015 yang lalu dan mereka telah mengambil seorang anak angkat.
“Saya menandatangani kontrak selama setahun bersama pengeluar produk berkenaan, bermula November tahun lalu. Tetapi, kontrak itu ditamatkan dengan serta-merta tanpa sebab.
“Sukar untuk saya menjelaskan perkara itu secara terperinci, namun saya sedih apabila kerjasama ini diakhiri dengan cara tidak baik.
“Lebih menyedihkan, suami juga turut terkena tempiasnya, sehingga kami pula bergaduh suami-isteri,” katanya dipetik daripada BH Online.
Dalam masa yang sama, produk tersebut juga masih lagi menggunakan wajahnya bagi melariskan produk mereka meskipun dia bukan lagi duta bagi jenama berkenaan.
Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia mengakui bahawa dalam waktu terdekat ini dia berasa agak serik untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat kecantikan.
“Meskipun begitu, saya percaya ramai lagi pengasas produk yang bersikap jujur di negara ini. Malah, saya takkan berputus asa apabila gagal dalam melakukan sesuatu perkara.
“Diakui, pada awalnya, memang saya berasa serik. Namun apabila difikirkan semula, ia adalah lumrah jatuh bangun sesebuah perniagaan.
“Apa yang penting, saya mahu membersihkan nama yang sudah tercalar, akibat masalah bersama syarikat produk saya wakili sebelum ini,” tegasnya.
Sebelum ini, Jue pernah membuat laporan polis apabila gambarnya sebagai duta produk kecantikan Queen Of Mutiara telah diciplak oleh segelintir pemborong yang menjual barangan tiruan bagi melariskan jualan mereka.
Benar juga kata Jue, apa yang terjadi ini merupakan asam garam kehidupan, ada jatuh bangunnya. Mungkin apa yang terjadi ni ialah dugaan daripada Allah untuk Jue. – MYNEWSHUB.CC/AH