KUALA LUMPUR: Berikutan kenyatannya yang telah diputar belitkan luar daripada konteks,Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah memohon maaf secara terbuka kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dalam satu pertemuan dengan barisan Alumni UiTM, Tengku Adnan atau dikenali dengan panggilan Ku Nan berkata beliau meminta maaf atas kata-kata yang menimbulkan rasa tidak puas hati ramai.
Ahad lalu, Ku Nan membuat kenyataan itu ketika menekankan sumbangan Umno kepada pelajar, ketika berucap di majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Kuala Lumpur.
Jelas Ku Nan lagi, mungkin penggunaan perkataan ‘slow learner’ yang digunapakai oleh beliau menimbulkan rasa marah sesetengah pihak.
BACA: “Kalau ‘Slow Learner’, Boleh Masuk UiTM”: Ku Nan
“Saya langsung tidak ada niat untuk merendahkan mana-mana pihak.
“Saya juga telah mohon maaf jika kata-kata saya mengguris hati sesiapa. Kepada sesiapa yang rasa terguris saya mohon maaf terhadap apa yang telah saya sebutkan,” kata Setiausaha Agung UMNO itu dalam sidang media bersama Alumni UiTM.
Menteri Wilayah Persekutuan itu juga telah mengadakan pertemuan khas dengan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) yang diketuai presidennya, Datuk Mohamad Zaini Hassan berhubung isu berkenaan.
“Apa yang saya lakukan adalah kata-kata perangsang untuk pelajar. Itu yang selalu saya lakukan. Saya beri kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan yang memerintah selama 60 tahun ini banyak jasa yang kadang kala kita ambil mudah,” jelas Ku Nan lagi.
Mengulas lanjut, beliau juga menambah bahawa dia tidak berniat untuk mengguris hati sesiapa kerana tujuan asalnya adalah untuk memberikan kata-kata motivasi kepada pelajar universiti serta menyedarkan mereka bahawa mereka perlu menjadi benteng dalam memastikan negara terus aman di masa akan datang.
“Paling penting sekali adalah kerajaan sediakan kita keselamatan, kita boleh lakukan segalanya dari segi cari rezeki dan perniagaan. Itu niat saya,” katanya.
Justeru beliau berkata, mungkin ada pihak salah anggap mengenai kenyataan beliau yang pada mulanya ingin berkata bahawa UiTM ada menjanjikan peluang kedua kepada mahasiswa sekiranya tidak diterima memasuki mana-mana universiti.
“Barangkali kata-kata saya mengenai ‘slow learner’ itu orang salah anggap. Barang kali boleh sebut peluang kedua.
“Bila saya bercakap dan saya tidak tahu ada pula puak tertentu yang sengaja ambil kesempatan untuk melaga-lagakan saya dengan pihak UiTM.
“UiTM adalah satu institusi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu khususnya kepada kaum Melayu.
“Saya harap hentikan semua ini dan tidak payah kita nak bising-bising lagi. Saya sedar barangkali saya ini mulut celupar, jadi saya kena hati-hati,” jelas beliau, memetik daripada laporan Agenda Daily.
Sementara itu, Zaini menerima baik permohonan maaf Ku Nan dan memahami ucapan beliau telah disalah tafsir.
“Kita faham apa yang Ku Nan maksudkan tiada niat menghina, kita rasa besar hati apabila Ku Nan sanggup meminta maaf,” katanya.
Zaini juga berharap agar isu ini tidak dipolitikkan oleh pihak tidak berkaitan dengan UiTM.-MYNEWSHUB.CC