MELAKA – Kualiti air mentah di kawasan empangan di negeri ini terutamanya Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Jus di Jasin, tercemar akibat kegiatan pencerobohan tanah, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini.
Menurut laporan itu juga ujian kualiti air mentah bagi pemegang lesen abstraksi air mentah tidak dijalankan Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSA) mengikut peraturan yang ditetapkan dan terdapat perubahan muka bumi akibat daripada kegiatan pertanian di kawasan empangan tersebut.
Kata audit terdapat 721 perlanggaran piawaian kualiti air mentah di sembilan loji rawatan air antara 2014 hingga 2016, yang bahan pencemar utama menyumbang pencemaran air itu ialah baja kimia dan racun rumpai, pengorekan pasir, penternakan ikan keli, ladang kelapa sawit dan ladang getah.
“Sekiranya aktiviti ini tidak dapat dikawal dan dihentikan, fungsi air mentah di kawasan tadahan air akan terjejas dan menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar,” kata laporan tersebut.
Bagi mengatasi masalah itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil.35/2015 bertarikh 7 Jan 2016 memutuskan untuk menamatkan semua kegiatan dalam kawasan empangan pada penghujung 2016 dan BKSA telah mengeluarkan notis penamatan kepada pengusaha sehingga penghujung tahun ini.
Audit mendapati pengurusan kawal selia air tidak memuaskan kerana pengurusan kuantiti dan kualiti sumber air mentah, pelesenan, pengurusan hasil dan kaedah penutupan serta pemberhentian abstraksi air mentah tidak dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
Pengauditan yang dijalankan antara bulan April hingga Jun tahun ini menemui kelemahan iaitu kajian kecukupan kuantiti air mentah tidak dilaksanakan; perjanjian lis pajakan tidak ditandatangani; kegiatan penerokaan dan pencemaran di kawasan empangan.
Penguatkuasaan dan pelesenan tidak dijalankan secara menyeluruh; tunggakan caj abstraksi air mentah yang tinggi dan bil caj abstraksi air mentah oleh pelesen lewat dibayar; dan tiada kaedah penutupan yang spesifik dan pemberhentian abstraksi air mentah dijalankan.
Audit mengesyorkan BKSA menjalankan kajian terperinci berkaitan kuantiti, kualiti dan sumber alternatif air mentah bagi memastikan bekalan sumber air mentah optimum dan mencukupi serta terjamin kualitinya; dan memastikan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan empangan, lesen abstraksi air mentah, pencemaran sumber air dan lain-lain perkara yang berkaitan dibuat secara berkala.
Sementara itu, Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 mendapati pengendalian Akaun Amanah Nelayan Melaka tidak memuaskan, sungguhpun demikian dari aspek penerimaan sumbangan adalah memuaskan kerana kutipan sumbangan telah mencapai 83.1% berbanding sasaran.
Kelemahan ditemui iaiah kadar bayaran sagu hati nelayan terjejas penambakan laut dan projek pembangunan lain berbeza; objektif kerja infrastruktur tidak tercapai kerana tidak dapat dimanfaatkan nelayan; pembangunan modal insan kalangan komuniti nelayan tidak dirancang; dan tiada perancangan bagi pelaburan dan simpanan tetap terhadap lebihan baki akaun amanah.
Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka disyor melaksanakan garis panduan pengurusan pembayaran bantuan sagu hati; pemantauan bagi memastikan kerja pembinaan dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan perancangan projek infrastruktur dapat dimanfaatkan nelayan; dan pembangunan modal insan di kalangan nelayan perlu diberi perhatian. – BERNAMA