KUALA LUMPU – Ketandusan kasih sayang dan perhatian oleh ibu bapa terhadap anak-anak dilihat menjadi antara faktor yang menjurus kepada sebilangan remaja kini semakin berisiko terjebak dalam masalah sosial.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata sebilangan ibu bapa kini terlalu sibuk bekerja hingga anak-anak terabai sehingga memberi kesan negatif dari sudut emosi.
“Ada remaja yang berjumpa dengan saya memohon pendapat bagaimana mereka dapat meluangkan masa dengan ibu bapa mereka. Ini membuktikan apa yang mereka mahu hanyalah kasih sayang,” katanya pemberita selepas menghadiri Forum ‘Remaja Berisiko: Menangani Lebih Baik Daripada Menghukum’ di sini hari ini.
Mengambil contoh kes kebakaran pusat tahfiz di Datuk Keramat di sini yang mengorbankan 23 nyawa pada September lalu, Rohani berkata ada suspek remaja terbabit didapati datang dari latar belakang keluarga bermasalah.
“Tiada siapa yang mendampingi mereka dan akhirnya mereka terjerumus ke dalam kancah jenayah kerana salah pergaulan.
Tragedi ini harus dijadikan sebagau ujian sedar. Kita perlu berhenti menunding jadi dan perlu mula mencari apakah puncanya,” tegasnya.
Forum itu turut dihadiri Penasihat Rumah Pemulihan Dadah dan Akidah Sahabat Insan dan Iman Malaysia, Mohamed Hanafiah Abdul Malik; Pengerusi Gabungan Institusi Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera, Nordin Abdul Malik dan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.
Nordin berkata golongan remaja berisiko bukan satu masalah jika pendekatan terbaik digunakan untuk mendekati mereka memandangkan mereka juga mampu berjaya dengan dorongan sewajarnya.
“Mereka ini mungkin mat rempit, misalnya, namun mereka juga mampu berdiri sekiranya perhatian dan pendidikan secukupnya diberikan. Janganlah pandang mereka serong kerana mereka berbeza,” katanya.
Mohamed Hanafiah memberitahu forum itu bahawa cabaran ibu bapa sekarang lebih getir berbanding dahulu, lebih-lebih lagi dengan kehadiran teknologi yang menjurus kepada ramai remaja hidup dalam dunia mereka sendiri. – BERNAMA