Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Arab Saudi Arah Rakyat...

RIYADH - Arab Saudi menggesa rakyatnya meninggalkan Lubnan secepat mungkin beberapa hari selepas...

500 Rumah PR1MA Berdekatan...

BESUT - Sebanyak 500 unit rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)...

Penduduk Temui Objek Asing...

APA benda ni? Semua penduduk di Lone Khin, Myanmar, terkejut dengan penemuan sebuah...

Faktor Sekuriti, Pelancong Ke...

KUALA LUMPUR - Bermula tahun 2020, rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke negara-negara Kesatuan...

Lawatan Pasangan Diraja Cerminkan Hubungan Rapat

KUALA LUMPUR – Lawatan tujuh hari Putera Charles, Prince of Wales, dan isterinya Camilla, Duchess of Cornwall yang berakhir semalam mencerminkan hubungan rapat dan mesra antara United Kingdom (UK) dan Malaysia.

Walaupun pernah dijajah British, Malaysia masih memelihara hubungan baik dengan UK dalam segala aspek, selama 60 tahun setelah mencapai kemerdekaan pada 1957 dan kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan saling menghormati antara satu sama lain.

Hubungan dua hala antara kedua-dua negara merangkumi pelbagai bidang seperti perdagangan, pertahanan dan keselamatan, pendidikan, ekonomi digital, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, kebudayaan dan pelancongan, yang memanfaatkan rakyat dan komuniti perniagaan kedua-dua negara.

Malaysia merupakan pasaran eksport kedua terbesar UK di rantau ASEAN dan UK ialah rakan kongsi perdagangan ketiga Malaysia di Eropah, sementara dari segi pendidikan, ketika ini terdapat lebih 18,000 rakyat Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di UK.

Lawatan Diraja ini adalah sebahagian daripada rangka lawatan pasangan ini ke Malaysia, Singapura dan India bermula 30 Okt hingga 9 Nov.

Lawatan ini sangat istimewa kerana ia membawa mereka ke beberapa negeri. Pasangan Diraja itu memulakan lawatan sulung mereka dengan jadual yang padat di ibu negara sebelum ke Perak, Sarawak dan akhirnya Pulau Pinang.

Putera Charles yang disambut Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada istiadat sambutan khas di Muzium Seni Islam Malaysia, di sini pada 3 Nov bertitah muzium itu yang menempatkan lebih 10,000 artifak, dan perpustakaan yang mengandungi buku kesenian Islam, merupakan peringatan betapa pentingnya bagi semua masyarakat untuk memulihara dan berbangga dengan warisan bangsa mereka.

Pasangan Diraja itu turut menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara dan menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Putera Charles jelas kagum dengan imej positif yang dipamerkan Malaysia kepada dunia luar.

Ini dinyatakan dalam titah baginda pada Majlis Santapan Diraja yang dihoskan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia pada hari sama apabila pewaris takhta British itu bertitah Malaysia mempamerkan contoh yang kukuh negara-negara di rantau ini, bukan hanya kerana kekuatannya dalam perniagaan, pendidikan, sains, keselamatan dan pertahanan, tetapi juga bagaimana Malaysia beraksi di pentas dunia.

Putera Charles bertitah bahawa reputasi global Malaysia dicapai menerusi persefahaman dan perpaduan merentasi sempadan agama serta masyarakat dan merupakan aset berharga yang semakin hilang di dunia kini.

Pada 4 Nov, Putera Charles melawat tanah perkuburan Perang Komanwel di Taiping, Perak dan baginda menitahkan penghargaannya kepada pasukan pengurusan Suruhanjaya Perkuburan Perang Komanwel (CWGC) kerana memulihara dan menguruskan dengan baik tanah Perkuburan Perang Taiping.

Tapak perkuburan itu merupakan tempat bersemadi 864 pejuang Komanwel yang terkorban, dengan lebih 500 daripada mereka tidak dapat dikenal pasti, ketika Perang Dunia Kedua (1939-1945) di Malaya, ketika itu.


Baginda turut melawat Taman Negeri Royal Belum pada hari sama, dan memuji keunikan dan keindahan Tasik Temenggor selepas menaiki bot persiaran menyeberangi tasik walaupun ketika itu cuaca buruk.

Putera Charles terkenal dengan komitmennya terhadap pemuliharaan hidupan liar sementelah baginda kini Presiden Dana Hidupan Liar Dunia (WWF) UK.

Pasangan Diraja itu tiba di Sarawak pada 6 Nov dan mengambil peluang melawat Kampung Budaya Sarawak, yang terletak kira-kira 35km dari Kuching.

Terletak di barat laut Kepulauan Borneo, penduduk Sarawak menonjolkan kepada pelawat Diraja ini kepelbagaian kaum dan kumpulan etniknya . Sarawak mempunyai lebih daripada 40 kumpulan subetnik, yang setiap satu mempunyai bahasa, budaya dan gaya hidupnya tersendiri, menjadikan demografinya tersendiri dan unik.

Di kampung budaya, pasangan Diraja itu meninjau bahagian dalam rumah panjang tradisional masyarakat Iban dan Putera Charles kemudian mengadakan sesi dialog bersama enam ketua komuniti terdiri daripada kaum Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Melanau, Cina dan masyarakat Melayu di Persada Alam, sementara Camilla pula berangkat ke Dewan Lagenda untuk melihat pameran kraf tempatan sebelum kedua-duanya meneruskan lawatan ke Kuching.

Baginda berdua kemudian berangkat ke pulau mutiara Pulau Pinang dan tiba pada hari sama untuk memulakan pusingan akhir lawatan mereka di Malaysia.

Pada 7 Nov, pasangan Diraja itu melawat empat rumah ibadat iaitu Gereja St George, Masjid Kapitan Keling, Tokong Pusaka Han Jiang dan Kuil Sri Mahamariamman di George Town, yang juga tapak Warisan Dunia Unesco.

Rumah-rumah ibadat itu melambangkan kepelbagaian kaum dan agama dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pasangan Diraja itu kemudian berangkat ke New Delhi, India dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 11.27 pagi semalam.

Lawatan anggota keluarga Diraja British yang lain ke Malaysia sebelum ini merangkumi Queen Elizabeth II dan Duke of Edinburgh pada 20 hingga 23 Sept 1998 untuk menghadiri perasmian pembukaan Sukan Komanwel ke-16 dan pasangan The Duke dan Duchess of Cambridge +pada September 2012. – BERNAMA

Kategori