ALOR SETAR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Pasukan Rejimen Sempadan 2 (2 RS) menahan seorang lelaki bersama 700 kilogram daun ketum bernilai RM66,500 yang cuba diseludup keluar ke Thailand dekat Bukit Kayu Hitam awal pagi semalam.
Panglima 6 Briged Brigedier Jeneral Abd Aziz Ismail berkata lelaki berumur 22 tahun itu ditahan lima anggota tentera diketuai Koperal Sabran Latim setelah melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pos Sahara pada 2.45 pagi.
“Ketika itu kenderaan tersebut sedang melalui laluan kebun getah menuju ke sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut mendapati terdapat plastik hitam berisi daun ketum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Aziz berkata lelaki serta kenderaan bernilai RM55,000 yang turut dirampas bersama daun ketum itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata pasukan 2 RS akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan terus berleluasa berlaku di negara ini. – BERNAMA