SEOUL – Malang tidak berbau apabila lelaki berusia 68 tahun maut selepas dihempap seorang wanita yang terjun dari apartmen bagi membunuh diri, menyebabkan kedua-duanya terbunuh.
Warga emas itu ketika kejadian sedang berjalan menuju ke tempat kerjanya apabila wanita berusia 56 tahun berkenaan terjun dari tingkat 13 dan terus menghempap ke atas dirinya.
Kejadian pelik itu dilaporkan berlaku pada Isnin di sebuah bandar peranginan terkenal di Seongdong dekat sini.
Menurut laporan agensi berita Yonhap, kedua-dua mereka dikejarkan ke hospital namun lelaki dan wanita itu mati ketika rawatan.
Polis menyatakan wanita terbabit dipercayai mengalami tekanan perasaan menyebabkan dia mahu membunuh diri.
Pada 2015, seorang wanita di bandar sama terjun dari tingkat tujuh sebuah bangunan dan menghempap seorang lelaki berusia 81 tahun.
Lelaki tersebut mati di tempat kejadian namun wanita berkenaan dilaporkan berjaya diselamatkan pihak hospital.
Kadar bunuh diri di Korea Selatan sememangnya antara tertinggi di dunia dan kerajaan negara itu memperuntukkan hampir 10 bilion won (RM38 juta) pada tahun ini bagi kempen cegah bunuh diri. – MYNEWSHUB.CC