KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pengkongsian maklumat untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan aktiviti penguatkuasaan serta pematuhan cukai secara bersama.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerjasama itu bertujuan memudahkan proses selain mengurangkan kos jangka pandang terutama dari segi penguatkuasaan dan penambahan kakitangan.
“Melalui perkongsian maklumat ini, kedua-dua agensi akan dapat membuat padanan setiap data yang diperolehi dengan data yang dimiliki supaya satu tindakan bersesuaian dan tepat dapat diambil terhadap pembayar cukai,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di sini, hari ini.
Beliau menyaksikan penandatanganan MoU itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah dan Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Subromaniam Tholasy.
Johari berkata, menerusi MoU itu, pasukan petugas ‘Collection Intelligence Arrangements’ atau CIA yang diwujudkan tahun lepas dapat mempertingkatkan keberkesanan pematuhan, menangani isu ketirisan cukai dan aktiviti ekonomi tidak sah seterusnya menambah hasil negara.
Beliau berkata, Malaysia diberi penarafan A- oleh agensi penarafan dari segi jumlah kutipan cukai, yang boleh dianggap rendah, berbanding negara lain yang diberi penarafan yang sama.
Oleh itu, kecekapan dalam kutipan cukai oleh agensi berkaitan, dengan menjadikan perniagaan patuh kepada pembayaran cukai, adalah sangat penting, katanya.
Menurut kenyataan, MoU itu membolehkan JKDM mendapatkan maklumat daripada LHDN seperti Borang B, Borang BT, Borang M dan Borang C, antara lain, merangkumi maklumat pendapatan perniagaan, penggajian pendapatan lain, keuntungan cukai harta tanah, cukai pegangan dan sebagainya.
LHDN pula akan memperolehi maklumat khusus yang terdapat dalam Borang GST01, GST 03 dan GST04 serta maklumat lain dalam kawalan JKDM.
Johari berkata, data itu telah membantu proses padanan data, serta analisis bagi mengenal pasti pembayar cukai berpotensi, pemilihan kes audit dan siasatan serta meningkatkan pematuhan pungutan cukai.
Mengulas mengenai keberkesanan pasukan CIA melalui inisiatif perkongsian maklumat dengan JKDM, Sabin berkata sehingga 30 Sept, 2017, pihaknya dapat menyelesaikan 17,454 kes melibatkan jumlahpenyelesaian cukai sebanyak RM789.85 juta.
Bagi JKDM pula, Subromaniam berkata perkongsian maklumat bersama itu akan meningkatkan prestasi jabatannya dari segi peningkatan hasil.
Sehingga Oktober 2017, JKDM telah menyelesaikan 7,537 kes melibatkan penyelesaian tuntutan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan duti import berjumlah RM695.79 juta yang sebahagiannya susulan hasil perkongsian maklumat. – BERNAMA