BAGI sesetengah golongan tak kira lelaki atau perempuan, soal perkahwinan itu merupakan satu perkara yang agak sensitif kerana tak semua orang selasa jika sering diajukan soalan seperti itu.
Itulah soalan yang sering diajukan kepada salah seorang anggota kumpulan pelawak, Abam Bocey.
Baginya dia sangat ‘letih’ bila setiap hari pasti dia akan mendapat soalan yang sama mengenai kehidupan peribadinya.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan berharap agar dengan pengumuman yang dilakukannya baru-baru ini mengenai pernikahan yang bakal diadakan pada 8 Disember akan datang, akan menutup mulut orang ramai.
Pelawak berusia 29 tahun itu dikatakan bakal bernikah dengan seorang gadis berusia 26 tahun yang dikenali dengan nama Hidayah dan berasal dari Sabak Bernam.
“Memang soalan cepu emas itulah yang sering kali ditanyakan kepada saya. Kadang-kadang pernah terdetik juga rasa letih apabila asyik ditanya soalan sama.
“Maklumlah, ahli kumpulan Bocey yang lain Fad dan Achey masing-masing sudah berkahwin. Jadi saya pun tidak terlepas dengan soalan perihal peribadi.
“Bagaimanapun, saya selalu cakap kalau ada jodoh, insya-Allah saya pun akan menyusul,” katanya dipetik daripada Harian Metro.
Tapi itu bukan bermaksud dia tidak selesa jika ditanyakan soalan sebegitu.
Sebagai anak lelaki, Abam masih mempunyai banyak lagi tanggunjawab terhadap keluarga dan mempunyai impian yang perlu dicapainya sebelum tempoh yang tertentu.
Dalam masa yang sama, pelakon dan pelawak yang berasal dari Gombak itu juga mahu membahagiakan ibunya yang tercinta.
“Memang selama ini pun saya bekerja untuk mencari nafkah. Bukan untuk siapa-siapa, tetapi untuk ibu saya sendiri.
“Sebab itu saya selalu beritahu, biarlah saya bahagiakan ibu dulu. Saya mahu hasil titik peluh saya selama ini dirasai oleh keluarga sendirI, barulah fikir untuk berumah tangga,” tambahnya lagi.
Selain itu, Abam difahamkan baru sahaja pulang dari Kota London bagi menjalani penggambaran drama Tuyul Ke London yang bakal bersiaran di Astro Warna bermula pada 1 December ini.
Apa pun, tahniah kepada Abam yang tak lama lagi bakal menamatkan zaman bujangnya. Moga bahagia bersama insan yang disayangi hingga ke Jannah. –MYNEWSHUB.CC / AH