KUALA LUMPUR – Harapan Malaysia untuk melakar sejarah muncul juara Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) buat pertama kali berkecai apabila dijinakkan juara bertahan, Thailand 3-4 pada aksi final di Stadium Phu Tho di Ho Chi Minh City, Vietnam, hari ini.
Malaysia bermula baik apabila berjaya menghasilkan jaringan seawal minit kelima menerusi Awalluddin Mat Nawi dan Ridzwan Bakri menggandakan jaringan pada minit ketujuh untuk anak buah Chiew Chun Yong selesa mendahului 2-0, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman Facebooknya.
Sedikit kealpaan di barisan pertahanan negara lantas dihukum penyerang Thailand, Tanachot Sosawaeng yang bijak mencuri peluang dan menjaringkan gol pada minit ke-12 untuk merapatkan kedudukan 1-2 pada masa rehat.
Bermula babak kedua, Awaluddin Hasan menambah jaringan buat kem negara pada minit ke-23 namun pemain Thailand tidak cepat melatah apabila mereka bangkit mengikat kedudukan 3-3 menerusi Muhammad Osamanmusa (minit ke-27) dan Jetsada Chudech (minit ke-31).
Keputusan 3-3 itu memaksa perlawanan diheret sehingga ke masa tambahan dan Thailand ternyata bijak menyudahkan peluang yang terhidang dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-44 menerusi Ronnachai Jungwongsuk.
Untuk rekod, Malaysia dan Thailand mengesahkan tempat ke Pusingan Akhir Kejohanan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 yang akan berlangsung di Taiwan. – BERNAMA