KUALA LUMPUR – Malaysia mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang antara 5.2 dan 5.7 peratus tahun ini, sebahagian besarnya disokong oleh sektor eksport yang positif dan permintaan dalam negeri, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Muhammad Ibrahim.
“Angkanya nampak baik, dengan sektor eksport menunjukkan pertumbuhan dua angka, dan kami benar-benar berharap ada kejutan yang menyenangkan tahun ini,” katanya pada sidang media susulan penyiaran laporan ‘Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia bagi Suku Ketiga 2017.
Muhammad, bagaimanapun mengingatkan negara harus mengambil kira prestasi luaran, yang bukan sahaja memberi impak kepada Malaysia, malah seluruh dunia.
Keputusan suku ketiga menunjukkan KDNK berkembang pada tahap yang lebih cepat pada 6.2 peratus berbanding 4.3 peratus pada suku yang sama tahun lepas, hasil sokongan permintaan domestik, terutama perbelanjaan sektor swasta.
Bagi bekalan, peningkatan direkodkan dalam semua sektor– perkhidmatan, perkilangan, pelombongan, pertanian dan pembinaan. – BERNAMA