PASIR PUTEH – Demi membantu masyarakat ketika banjir, seorang mekanik mendapat idea mencipta sebuah ‘kereta tunda’ sebagai pengangkutan kepada penduduk di sekitar Kampung Bukit Abal di sini.
Tuan Razman Tuan Ismail, 32, berkata kereta itu yang berkelajuan antara 20 dan 30 meter sejam itu diciptanya pada tahun lepas.
“Kenderaan ini saya cipta khas untuk pergerakan ketika banjir. Tahun lepas saya pernah menghantar seorang ibu mengandung ke klinik berdekatan.
“Banjir pada tahun ini pula, saya membantu jiran-jiran membeli dan menghantar gas memasak dari kedai runcit berdekatan ke rumah mereka selain barangan lain,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Katanya beliau mendapat idea tersebut selepas kenderaan ringan biasa tidak dapat digunakan di kampung berkenaan kerana banjir di kampung itu biasanya mencecah paras pinggang.
Tuan Razman berkata kenderaan yang menggunakan enjin motosikal empat lejang dengan tayar pacuan empat roda itu mampu memuatkan sehingga 10 orang penumpang pada satu-satu masa.
“Saya memasang tangki minyak dan enjin lebih tinggi dari kenderaan untuk memastikan ia mampu melalui air melebihi paras 0.5 meter. Ia juga stabil walaupun mengharungi arus deras,” katanya.
Beliau berkata sejak kampung itu dilanda banjir beberapa hari lepas, kenderaan tersebut mendapat perhatian ramai terutama golongan remaja dan kanak-kanak yang ingin meninjau keadaan banjir di sekitar kampung tersebut.
Tuan Razman tidak mengenakan sebarang bayaran bagi perkhidmatan tersebut dengan hasrat untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Lagipun perniagaan di bengkel juga tidak dapat diteruskan ketika musim tengkujuh jadi saya meluangkan masa membantu apa yang termampu,” katanya.
Bapa kepada dua anak yang hanya belajar setakat darjah enam itu mempunyai minat dalam kenderaan bermotor sejak kecil lagi sehingga berjaya mengusahakan bengkel membaiki dan mengecat kereta lebih 10 tahun lepas. – BERNAMA