KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk melarang pengimportan mana-mana penerbitan ke Malaysia sekiranya beliau berpuas hati penerbitan itu bermungkinan akan mengganggu-gugat ketenteraman awam atau kepentingan negara.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 turut memberi kuasa kepada menteri untuk menyekat pembekalan atau memulangkan kepada penghantar di luar Malaysia bagi mana-mana penerbitan termasuk artikel, karikatur, gambar atau lain-lainnya, yang bermungkinan boleh menganggu-gugat keselamatan dan moral.
“Ingin ditegaskan bahawa menteri boleh melaksanakan kuasa budi bicara itu sekiranya beliau berpuas hati. Dalam melaksanakan budi bicara itu, menteri harus tidak mempunyai motif tidak betul, tidak tersalah arah dirinya sendiri, telah mempertimbangkan semua perkara relevan dan keputusan dibuat tidak melanggar undang-undang,” hujahnya pada pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.
Shamsul, yang mewakili Kementerian Dalam negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden berkata, oleh itu tidak boleh dikatakan bahawa kebebasan beragama pemohon (Jill Ireland) telah dicabuli mengikut Seksyen 9 akta itu sedangkan ketetapan berhubung perkara itu jelas termaktub dalam Undang-Undang Persekutuan.
“Untuk pengetahuan pemohon, Arahan Kerajaan 1986, yang melarang penerbitan Kristian menggunakan kalimah “Allah”, adalah tidak berpelembagaan kerana ia melanggar hak pemohon dan jemaah seagamanya daripada menganut dan mengamalkan agama mereka,” katanya.
Shamsul juga berkata Arahan Kerajaan 1986 merupakan keputusan Kabinet dan juga keputusan pembuat dasar pada ketika itu untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan orang Islam dan Kristian, yang berkemungkinan akan mengganggu-gugat ketenteraman awam, sekali gus menimbulkan sensitiviti agama dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sehingga kini, Arahan Kerajaan 1986 masih terpakai dan tidak ditarik balik,” katanya.
Katanya perlu diambil perhatian bahawa disebalik dakwaan bahawa hak komuniti Kristian untuk menganut dan mengamalkan agama mereka telah dicabuli oleh Arahan Kerajaan 1986, namun penerbitan masih dibenarkan dengan perakuan “Untuk Agama Kristian” pada penerbitan itu.
“Oleh itu, untuk menyatakan Arahan Kerajaan 1986 telah mencabuli hak mereka untuk menganut dan mengamalkan agama mereka adalah tidak tepat,” katanya dan menurutnya pengisytiharan yang dipohon Jill Ireland adalah bersifat hipotetik atau tidak matang kerana beliau masih belum dinafikan bagi pengimportan itu.
“Tiada petunjuk bahawa hak beliau bagi kebebasan beragama akan dinafikan dalam masa terdekat,” katanya.
Jill Ireland daripada etnik Melanau dan merupakan seorang kerani daripada Sarawak, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos, 2008, memohon dipulangkan kepadanya lapan CD yang dirampas daripadanya pada 11 Mei, 2008, sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang.
CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’.
Pada 21 Julai, 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan CD itu dipulangkan kepada Jill Ireland, tetapi tidak mengeluarkan arahan berhubung pengisytiharan dipohon wanita itu bahawa dia berhak menyimpan, menggunakan dan mengimport bahan penerbitan mengandungi kalimah ‘Allah’.
Pada 23 Jun, 2015, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Kementerian Dalam Negeri memulangkan lapan CD dirampas milik wanita itu selepas menolak rayuan kementerian dan kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Kementerian Dalam Negeri diperintah memulangkan CD itu dalam masa sebulan dari tarikh keputusan dan turut memerintahkan pengisytiharan yang dipohon Jill Ireland didengar di Mahkamah Tinggi. – BERNAMA