PUTRAJAYA – Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Abdullah Zayed Al-Nahyan membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya di sini, di sini.
Sheikh Abdullah tiba di bangunan Putra Perdana pada 3.40 petang dan mengadakan pertemuan dengan Najib selama kira-kira 30 minit.
Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Pertahanan, turut hadir pada pertemuan itu.
Sheikh Abdullah yang diiringi beberapa pegawai kanan kementeriannnya dalam rangka lawatan dua hari di Malaysia bermula semalam.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, lawatan itu memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan saling bertukar pendapat mengenai isu-isu bersama.
Menurut kenyataan itu, UAE merupakan rakan dagang utama bagi Malaysia di rantau Asia Barat. Bagi Januari hingga September tahun ini, jumlah perdagangan dua hala mencatatkan peningkatan sebanyak 24 peratus kepada RM19.98 bilion berbanding RM16.11 bilion bagi tempoh sama pada 2016.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan UAE pada 2016 adalah RM22.27 bilion dengan jumlah eksport RM12.58 bilion dan import RM9.69 bilion, menurut kenyataan itu. — BERNAMA