KUALA LUMPUR – “Saya dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berbincang tentang pelbagai isu penting bagi kedua-dua negara,” kata Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.
Beliau berkata demikian di laman Facebook rasmi beliau hari ini bagi memaklumkan rakyat Indonesia tentang antara tujuannya berkunjung ke Kuching, Sarawak bermula semalam.
Menurut Jokowi, beliau antaranya akan berbincang dengan Najib termasuk tentang kerjasama ekonomi, perlindungan ke atas warga Indonesia, tenaga kerja, isu sempadan, pertahanan dan keamanan.
“Saya terbang ke Kuching Malaysia untuk menghadiri konsultasi tahunan ke-12 RI-Malaysia. Saya dan Perdana Menteri Malaysia akan membahas berbagai isu prioritas bagi kedua negara.
“Kami juga membahas berbagai tantangan di kawasan yang akan kita hadapi dan kerjasama di kawasan yang akan dikembangkan bersama,” katanya dalam bahasa Indonesia.
Jokowi berkata, beliau berharap kunjungan dan pertemuannya dengan Najib akan memberikan manfaat yang dapat dirasai seluruh rakyat Indonesia dan Malaysia. – MYNEWSHUB.CC