YANGON – Myanmar telah merancang untuk membuka sebuah universiti perikanan pada 2018 yang bertujuan membangunkan sektor perikanan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan akhbar rasmi Global New Light of Myanmar pada Khamis.
Menurut Naib Presiden Persekutuan Perikanan Myanmar, Dr Toe Nandar Tin, universiti itu akan menjadi sebuah institusi akademik berpiawaian tinggi berbanding gedung ijazah semata-mata dan bakal menjalin usaha sama dengan kementerian berkaitan.
Ketika ini, pihak berkuasa berusaha untuk membangunkan industri perikanan dengan mengubah kaedah pembiakan ikan secara tradisional kepada yang moden dengan bantuan teknikal asing.
Bagi membangunkan industri perikanan, Myanmar turut mengendalikan penyelidikan di perairan negara dengan bantuan kapal penyelidik asing bagi mengumpul statistik spesies ikan terancam dan membantu menterbalikkan sumber ikan yang semakin berkurangan.
Pada masa ini, terdapat tiga institut vokasional perikanan di wilayah Yangon, Ayeyawaddy dan Sagaing.
Selain itu, sebuah badan bukan kerajaan, Flora and Fauna International (FFI), dengan kerjasama Jabatan Perikanan, sedang membangunkan kawasan konservasi marin di selatan wilayah Taninthayi.
Myanmar mengeksport produk marin bernilai lebih US$600 juta pada tahun fiskal 2016/2017. – BERNAMA