KOTA KINABALU – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang tiga hari lalu di kawasan perairan Tanjung Aru, Menumbuk ditemukan lemas pagi ini.
Mayat Awang Tahir Daud, 42, dijumpai dua penduduk kampung kira-kira 7 pagi tadi, tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas dikatakan terjun ke laut dari atas bagang untuk menyelamatkan perahunya yang terlepas daripada ikatan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataan hari ini.
Kira-kira 8 pagi pada 31 Okt lalu, mangsa dan dua rakannya yang menaiki sebuah perahu ke lokasi kira-kira dua kilometer dari pantai Tanjung Aru, Menumbuk untuk membuat bagang bertindak terjun ke laut pada 5.30 petang untuk mendapatkan perahunya yang terlepas ikatan sebelum dilaporkan tenggelam dan hilang. – BERNAMA