KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan langkah bersepadu dalam usaha memantau premis perniagaan yang dijalankan oleh warga asing menerusi Ops Niaga 2.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu adalah kesinambungan daripada Ops Niaga yang dilaksanakan tahun lepas.
“Menerusi ops tersebut, kita bukan hanya periksa premis perniagaan di lokasi-lokasi yang kita beri tumpuan utama tetapi turut melihat sama ada perniagaan yang dijalankan itu berdaftar ataupun tidak.
“Jika sudah berdaftar, kita turut membuat pemeriksaan adakah pekerja di premis perniagaan tersebut mempunyai permit bekerja yang sah ataupun tidak,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah kebanjiran perniagaan dimiliki oleh warga asing di negara ini.
Hamzah berkata sekiranya warga asing terbabit sudah mendaftarkan perniagaan dengan sah, mereka dibenarkan untuk menjalankan perniagaan masing-masing.
Namun, katanya jika warga asing yang menjalankan perniagaan di negara ini tidak mengikut proses dan peraturan ditetapkan, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka. – BERNAMA