KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang bercadang menilai semula hutan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air untuk dijadikan penyelesaian kepada hutang kerajaan persekutuan yang berjumlah RM3.31 bilion.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Pahang mempunyai kira-kira 270,000 hektar kawasan tadahan air tidak boleh disentuh yang manfaatnya turut dinikmati oleh negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.
“Kita menyimpan hutan sebagai kawasan tadahan air dan saya cadang supaya hutan ini dinilai dan dibuat penilaian tahunan untuk boleh kontra dengan hutang kerajaan persekutuan. Saya akan cadangkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).
“Benda ini saya sudah fikirkan lama dan bila saya buat ucapan penggulungan kemudian teliti semula hutang kerajaan, saya rasa wajar,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Beliau menambah pada awalnya beliau berasa tidak sesuai memandangkan kerajaan persekutuan dan negeri ‘berada dalam satu parti’, namun mengubah pandangan selepas melihat hutang itu melibatkan perkara kebajikan rakyat.
Sebagai contoh, Adnan merujuk hutang berkaitan isu banjir pada tahun 2014 dan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2012 yang berjumlah RM432.55 juta, selain hutang lain antaranya melibatkan kerja pembekalan air berjumlah RM2.2 bilion dan pembinaan Perumahan Awam Kos Rendah (RM342.49 juta).
Cadangan untuk menilai hutan juga pernah diutarakan Syed Hamid Syed Mohamad (PAN-Semantan) pada persidangan sebelum ini yang melihatnya sebagai ‘pendapatan kepada kerajaan negeri’.
Sehubungan itu, Adnan berharap soal hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan tidak lagi dijadikan isu, sebaliknya semua pihak menumpukan perhatian untuk melakukan kerja dengan baik di kawasan masing-masing.
Pada sidang sama, Adnan yang juga Anggota DUN Simpang Pelangai turut meminta maaf kepada Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puri (DAP-Mentakab) ekoran ‘ketegangan’ yang berlaku pada sidang sebelum itu.
Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat mahu mengajak Tengku Zulpuri Shah bertumbuk seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media, malah perkataan tumbuk juga tidak pernah diutarakannya.
“Kalau ADUN bertumbuk pun kita dah anggap gila, apa lagi kalau MB (menteri besar) yang bertumbuk. Selama 67 tahun Adnan hidup, boleh tanya orang saya ini bagaimana…saya banyak berhujah, tapi bertumbuk tidak pernah. Saya bukan gengster.
“Saya ajak Mentakab (Tengku Zulpuri Shah) keluar dewan itu boleh jadi saya ajak beliau keluar untuk minum, mungkin nak bincang dengan lebih lanjut, mungkin nak bercerita…tapi orang buat pandangan sendiri,” katanya.
Adnan menambah beliau berpandangan adalah perbuatan yang terpuji untuk beliau meminta maaf dan berharap semua anggota dewan, sama ada daripada pihak kerajaan dan pembangkang tidak lagi memanjangkan isu itu dan terus bekerja keras pada pilihan raya akan datang.
Tengku Zulpuri Shah sebaik sahaja Adnan menamatkan penggulungan, berdiri menyatakan beliau ‘memaafkan menteri besar dan tidak mempunyai masalah kerana faham Adnan mungkin tertekan pada sidang itu’.
Persidangan DUN Pahang hari ini juga sebulat suara meluluskan pembentangan Bajet 2018 yang menyaksikan bajet lebihan sebanyak RM640,000 untuk tahun 2018 yang juga bajet lebihan ke-15 sejak tahun 1992, dengan anggaran kutipan hasil sebanyak RM700.64 juta manakala perbelanjaan mengurus berjumlah RM700.04 juta.
Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian. – BERNAMA